Sejarah Orkestra_Tradisional_Malaysia

Pada April 2007 seorang pegawai kebudayaan yang mempunyai latarbelakang kelulusan muzik daripada Akademi Seni Kebangsaan (Bahizal Abu Bakar) telah dihantar untuk menjalani kursus sambil belajar di Orkestra Tradisional Korea, National Theater of Korea bagi mengkaji sistem pembangunan muzik tradisional yang digunakan di sana. Sekembalinya beliau daripada menyertai kursus tersebut pada Oktober 2007 beliau telah membawa bersama sistem yang digunakan di sana dan seterusnya mencadangkan penubuhan sebuah Orkestra Tradisional Malaysia yang terdiri daripada penyertaan berbilang kaum Malaysia. Cadangan ini telah dipersetujui oleh pengurusan tertinggi Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan dan pada Januari 2008, satu sesi perbincangan telah diadakan bersama penggiat muzik tradisional pada 20-21 Januari 2008 di Awana Hotel Genting bagi merealisasikan penubuhan sebuah Orkestra Tradisional Malaysia.

Pembangunan muzik tradisional telah mendorong kepada penubuhan Orkestra Tradisional Malaysia(OTM). OTM beridentitikan masyarakat majmuk negara ini dari segi kemanusiaan dan muzikal, yang mana budaya pelbagai kaum menjadi teras, dengan mengekalkan fungsi dan identiti muzik asli dan warisan. Pemilihan genre dan gubahan muzik akan menyatukan ciri-ciri keaslian muzik warisan ini dalam satu gabungan yang penuh dengan nilai estetika dan keasliannya. Penubuhan OTM adalah selaras dengan hasrat Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui seni muzik.

Penubuhan OTM merupakan usaha berterusan oleh KPKK melalui Istana Budaya, bagi menstrukturkan semula ahli muzik tradisional pelbagai kaum dan etnik serta menjadikan kepelbagaian peralatan muzik tradisional Malaysia bertaraf antarabangsa dan profesional, setanding dengan orkestra simfoni barat. Usaha ini menyokong idea Gagasan 1Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak, iaitu menyemarakkan keharmonian kaum melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan. OTM turut menggabungkan ahli muzik handalan dari Professional Cultural Center (PCC) dan Temple of Fine Arts (TOFA). Gabungan ini memapar dan mengungkapkan perpaduan dan semangat setiakawan di kalangan rakyat berbilang kaum.

OTM dilihat sebagai pemangkin revolusi muzik Malaysia di abad ke-21. Ia berteraskan muzik pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Gabungan pelbagai genre muzik ini adalah diharap dapat dijadikan satu landasan kepada suatu konsep muzik baru rakyat Malaysia yang bersatu di abad yang mendatang.

OTM telah dilancarkan secara rasminya oleh YB. Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) pada 06 Februari 2010 bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.