Pentadbiran Osman_bin_Aroff

Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff gemar menggunakan pendekatan pragmatik dan realistik di dalam pentadbirannya. Beliau berusaha untuk menjadikan Kedah sebagai sebuah negeri yang maju di dalam pelbagai bidang antaranya sektor perindustrian, pertanian, perniagaan, pendidikan dan pelancongan. Dalam soal pembangunan, beliau menjalankan amanat UMNO yang mempunyai objektif untuk membangun bersama rakyat dalam membahagikan kekayaan negeri. Cabaran Kedah di bawah pimpinan Tan Sri Dato' Seri Osman Aroff ialah untuk mentransformasikan Kedah daripada sebuah negeri berasaskan pertanian kepada sebuah negeri berasaskan perindustrian. Dengan ini satu program yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Pembangunan Negeri (PTPN) telah dilancarkan. Program jangka panjang ini bersifat komprehensif dan bermatlamat memodenkan ekonomi dan meningkatkan produktiviti serta pendapatan Negeri Kedah. Tumpuan utama pelan ini ialah terhadap tiga sektor utama iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian komersial. Beliau juga berusaha memperbaiki lagi sistem ekonomi Negeri Kedah supaya ia lebih kukuh disamping mengimbangi sumber ekonomi dengan sumber manusia.