Bahagian Papan_luncur

Bahagian yang biasa untuk membina papan luncur yang asas dan lengkap terdiri daripada dek, trak, roda, dan bantalan:

Dek

Kebanyakan dek dibina daripada papan lapis kayu mapel berlaminasi tujuh hingga sembilan lapis; namun bahan lain seperti kaca gentian, buluh, resin, Kevlar, gentian karbon, aluminium, dan plastik turut ditambah bagi meringankan atau menguatkan dek.

Panjang sesebuah papan ini turut menentukan fungsi utamanya: papan longboard yang lebih panjang digunakan untuk tujuan meluncur dan berlumba manakala papan shortboard yang pendek lebih digunakan untuk tujuan melakukan gaya muslihat. Papan longboard berukuran sekitar lebih 36 inci (91 sm) panjangnya, papan "penny" plastik pula panjangnya sekitar 22 inci (56 sm).[2] Papan-papan yang sedikit besar daripada papan "penny" melebihi 27 inci (69 sm) dipanggil papan "nickel".[3]

Model-model binaan dari tahun 1970-an sering mempunyai sedikit atau langsung tiada cekungan manakala model-model tahun 1980-an lebih mencembung dalam dan berhujung injak (kicktail) yang lebih curam.

Pita cengkam (grip tape)

Pita cengkam ialah suatu helaian kertas atau fabrik yang berpelekat pada satu sisinya dan suatu permukaan mirip kertas pasir di sisi lain yang membolehkan pengguna kekal di atas papan. Pita ini biasanya berwarna hitam tetapi ia juga didapati dalam pelbagai warna dan corak.

Trak

Dua trak besi (biasanya daripada jenis aloi aluminium) memasangkan roda dan bearing pada papan dek.

Roda

Roda papan biasanya diperbuat daripada poliuretana dan datang dalam pelbagai jenis saiz dan bentuk yang bersesuaian dengan jenis gaya luncur. Roda yang berdiameter besar (55–85 mm) bergerak lebih laju serta senang melepasi retakan di jalan. Roda yang berdiameter kecil (48–54 mm) pula mendekatkan papan ke permukaan tanah, mengurangkan daya yang diperlukan untuk memecut dan menghasilkan titik pusat graviti yang rendah membolehkan masa tindak balas yang lebih cepat serta juga menghasilkan kelajuan maksimum yang lebih perlahan; roda bersaiz sebegini lebih sesuai digunakan untuk tujuan meluncur di jalan.