Sejarah Pasukan_bola_sepak_kebangsaan_Togo

Serangan hendap bas Januari 2010

Pada 8 Januari 2010, bas pasukan Togo diserang beberapa lelaki bersenjata api semasa dalam perjalanan ke pertandingan Piala Negara-Negara Afrika 2010. Tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera. Tiada pemain maut, walaupun pada awalnya penjaga gol Kodjovi Obilale dilaporkan meninggal sehari selepas serangan itu, namun dinafikan oleh kelabnya GSI Pontivy dalam satu sidang media, sebaliknya menyatakan beliau sedang menjalani pembedahan di Afrika Selatan.[2] Kumpulan pemisah FLEC mengaku bertanggungjawab.[3] Jurucakap persekutuan bola sepak Togo menyatakan pembantu jurulatih Amalete Abalo dan pegawai akhbar Stanislaud Ocloo telah maut selain pemandu bas.

Berikutan serangan hendap ini, Persekutuan Bola Sepak Togo menyatakan hasrat menarik diri. Para pemain pada mulanya berhasrat terus bertanding untuk memperingati mereka yang terkorban, namun kerajaan Togo akhirnya mengarahkan pasukan Togo kembali dan menghantar sebuah kapal terbang untuk tujuan itu atas alasan keselamatan.[4][5] Penyertaan Togo dibatalkan secara rasmi selepas tidak menghadiri perlawanan pembukaan mereka menentang Ghana pada 11 Januari.

Pada 30 Januari 2010, CAF melarang Togo daripada menyertai dua kejohanan Piala Negara-Negara Afrika yang seterusnya dan mendenda mereka $50,000; CAF mendakwa hukuman ini dijatuhkan kerana penglibatan kerajaan dalam penarikan diri dari pertandingan. Togo tidak dapat bertanding sehingga edisi 2016.[6]