Kehidupan Patanjali

Louis Renou adalah antara pemikir yang mencadangkan bahawa Patañjali, penulis Yogasutras dan Patañjali, penulis ulasan tatabahasa Panini adalah dua orang yang berlainan.[12] Pada tahun 1914, James Wood mencadangkan bahawa kedua-duanya adalah orang yang sama.[13] Pada tahun 1922, Surendranath Dasgupta memberikan beberapa hujahan bagi menyokong pendapat bahawa kedua-dua penulis itu adalah orang yang sama.[14]

Amnya, pendapat bahawa terdapat dua Patañjali yang berlainan diterima oleh kebanyakan pemikir. Namun, beberapa sarjana Barat menganggap mereka sebagai orang yang sama.

Beberapa sarjana India berpendapat bahawa Patañjali yang menulis teks tatabahasa, perubatan, dan Yoga adalah orang yang sama. Ini disebut dalam suatu ayat oleh Bhoja pada permulaan ulasan Yogasutras yang dikenali sebagai Rājamārttanda (kurun ke-11). Kemudiannya, idea ini diikuti oleh Shivarama dalam suatu teks kurun ke-18.[15]

Tradisi ini dibincangkan oleh Meulenbeld[16] yang menjejaki idea ini kepada Bhoja (kurun ke-11) yang kemungkinan terpengaruh dengan serangkap ayat oleh Bhartrhari (kurun ke-5) yang menyebut tentang seorang pakar dalam yoga, ilmu perubatan, dan tatabahasa. Namun, Bhartrhari tidak menyebut nama pakar itu. Sebelum kurun ke-10. tiada teks Sanskrit yang menyatakan bahawa Patanjali yang sama telah menghasilkan ketiga-tiga teks ini.[17]