Plot Pencuri_Hati_Mr._Cinderella

Salman, seorang duda yang baru menjejakkan kakinya ke Malaysia dari Perth, Australia setelah tiga tahun menghilangkan diri selepas penceraiannya dengan Nurul. Kembalinya ke Kuala Lumpur itu juga hanya untuk seminggu bagi membantu rakan kongsi lamanya, Johari untuk mendapatkan satu projek besar di Perth, Australia. Dalam tempoh itu, tidak diduga pertemuan Salman dengan seorang GRO yang bekerja di sebuah pusat Karaoke telah berjaya mencuri hatinya untuk bercinta semula. Ameera, seorang gadis lincah yang cukup menarik tapi terlalu ambil mudah perihal kehidupannya. Segalanya adalah duit mudah dan hiburan sehinggakan dia sering ditegur rakan serumahnya, Atika supaya berubah. Kali pertama Salman ternampak Ameera telah membuka minat Salman untuk mengenali Ameera. Walaupun hakikatnya Salman tahu yang Ameera adalah seorang GRO, tapi bagi Salman dia hanya ingin mengenali lebih dekat Ameera dan juga boleh menjadi peneman Salman ketika berada di Kuala Lumpur. Salman telah membayar Ameera untuk keluar dengannya. Dan bagi Ameera pula apa yang penting dia mendapat gaji ketika meluangkan masa dengan Salman. Tiga hari mereka telah bersama dan pada hari ketiga, Ameera telah mula rasakan satu perasaan cinta pada Salman. Walaupun umur Salman jauh berbeza dari Ameera tapi hakikatnya, Salman telah berjaya membuka mata Ameera pada dunia kejayaan yang sebenar. GRO bukanlah satu-satunya cara untuk berjaya di usia yang muda. Ameera membuat keputusan untuk berhenti kerja. Satu keputusan yang amat mengembirakan Atika rakan serumahnya. Malangnya pada malam Ameera hendak menamatkan kerjayanya sebagai GRO, dia telah diperkosa oleh Izz Faizal anak Johari, sahabat baik Salman. Dilema muncul untuk Ameera memilih siapakah yang akan menjadi lelaki di dalam hidup barunya.