Sejarah Pengangkutan rel di Malaysia

Kereta api pertama (1885-1896)

Pengangkutan rel di Malaysia bermula 1 Jun 1885 apabila jajaran keretapi yang pertama di Tanah Melayu sepanjang 8.25 batu (13.28 km) antara Taiping dengan Port Weld dibuka secara rasmi. Landasan ini mula dibina pada tahun 1882 dengan seluruh kos pembinaan bernilai £7000 yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Tujuan utama jajaran ini adalah untuk menghubungkan kawasan-kawasan perlombongan di Larut dengan pelabuhan terdekat (Port Weld). [3] Di Selangor pula, jajaran keretapi antara Kuala Lumpur dan Bukit Kuda, Klang dibuka kepada awam setahun kemudian pada 15 September 1886. Jajaran ini dibuka atas kajian Residen Selangor pada ketika itu, Frank Swettenham, menunjukkan keperluan untuk dibina landasan keretapi antara Kuala Lumpur dan Klang. Pembukaan kedua-dua jajaran keretapi ini telah menyebabkan peningkatan dalam keluaran bijih timah di kedua-dua negeri tersebut dan pengurangan dalam kos pengangkutan bijih timah antara lombong-lombong dengan pelabuhan. Pendapatan kedua-dua Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Selangor juga bertambah hasil daripada pembinaan jalan kereta api ini.[4]

Di Negeri Sembilan, terdapat permintaan untuk jaringan kereta api antara Seremban dan Port Dickson. jajaran kereta api ini sejauh 24 batu (39 km) dibina pada Julai 1891 dengan harga £192,500. Jajaran ini dibina oleh syarikat Sungei Ujong Railway Co. kerana Kerajaan Negeri Sembilan tidak mampu untuk membiayai pembinaan landasan kereta api ini. Pada tahun 1904, jajaran ini diambil alih oleh kerajaan. Sambutan jajaran ini kurang memberasangkan akibat saingan hebat daripada pengangkutan kereta lembu.[4]

Pada akhir 1880-an, pengeluaran bijih timah di Larut, Perak mula berkurangan manakala di Lembah Kinta, Perak telah muncul sebuah lombong bijih timah baru. Sebuah lagi jajaran kereta api dibina di Perak antara Lembah Kinta dan pelabuhan Telok Anson sejauh 60 batu (97 km) pada tahun 1891. Jajaran ini dibina atas permintaan tinggi bagi landasan kereta api menghubungkan kedua-dua lokasi. [5] Jajaran ini dibuka kepada awam secara berperingkat bermula dengan pembukaan landasan kereta api antara Telok Anson dengan Batu 16 pada 19 Mei 1893 dan berakhir dengan pembukaan landasan kereta api antara Kampar dengan Kota Bharu pada 1 Mei 1895.[6]

Di Selangor pula, banyak lombong-lombong bijih timah baharu dibuka di Rawang, Serendah dan Kelompang. Kerja-kerja pembinaan jajaran kereta api menghubungkan Kuala Lumpur dan Ulu Selangor bermula pada tahun 1889.[5] Jajaran ini dibuka kepada awam secara berperingkat bermula dengan pembukaan landasan kereta api antara Kuala Lumpur dengan Rawang pada 7 November 1892 dan berakhir dengan pembukaan landasan kereta api antara Serendah dengan Kuala Kubu pada 6 Oktober 1894.[6] Di Kuala Lumpur, stesen keretapi Kuala Lumpur kedua mula dibina di lokasi Stesen Keretapi Kuala Lumpur sekarang bagi menggantikan stesen kereta api Kuala Lumpur pertama. Stesen baharu ini dibuka kepada awam pada tahun 1892 sebelum dibina semula menjadi stesen kini pada 1909.[5]

Kereta api se-NNMB (1897-1909)

Ibu pejabat F.M.S. Railways di Kuala Lumpur - sekitar 1910. Ibu pejabat tersebut lalu berpindah ke sebuah bagunan berhadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Laluan kereta api menghala ke utara dari Kuala Lumpur di sebelah kiri, cabang landasan kereta api terletak di sebelah kanan.

Pada tahun 1896, satu peristiwa penting telah berlaku di Tanah Melayu di mana negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan telah disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB). Pembinaan jaringan kereta api mula giat dijalankan selepas peristiwa ini.[5] Sejurus sebelum pembentukan Persekutuan ini, Frank Swettenham iaitu bakal Residen Jeneral Persekutuan ini mencadangkan agar semua landasan-landasan kereta api di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan disambungkan menjadi satu rangkaian kereta api. Federated Malayan States Railway (atau dalam Bahasa Melayu, Keretapi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu), sebuah badan pengendali dan pemilik jaringan kereta api di NNMB, telah ditubuhkan pada bulan Julai 1901 bagi menggabungkan semua syarikat kereta api di Tanah Melayu menjadi sebuah badan.[7]

Pelan menghubungkan semua landasan-landasan kereta api di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bermula dengan pembukaan landasan kereta api dari Lembah Kinta ke Chemor melalui Tanjung Rambutan pada tahun 1896.[5] jajaran kereta api antara Chemor dan Padang Rengas dibuka secara berperingkat sehingga tahun 1901 bagi menghubungan sistem keretapi ini dengan jajaran Taiping-Port Weld.[8] Sistem kereta api Telok Anson-Ipoh-Padang Rengas bertemu dengan jajaran kereta api Taiping-Port Weld pada tahun 1903 apabila jajaran kereta api Taiping-Padang Rengas dibuka sepenuhnya kepada awam.[9]

Di Selangor, pembinaan jajaran kereta api bagi menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura bermula dengan pembukaan landasan kereta api antara Kuala Lumpur dan Pudu pada tahun 1893.[5] Kemudian, landasan kereta api antara Pudu dengan Sungai Besi dibuka pada 1 Mac 1895 dan diikuti dengan pembukaan landasan kereta api antara Sungai Besi dengan Kajang pada 14 Ogos 1897.[6] Dalam pada masa yang sama, landasan kereta api menghubungkan Klang dengan Port Swettenham (Pelabuhan Klang) dibuka kepada awam pada 1 Januari 1899.[6] Hal ini menyebabkan Kuala Lumpur disambungkan dengan Kuala Kubu, Port Swettenham dan Kajang pada tahun 1900.[5]

Di Pulau Pinang, sebatang jajaran kereta api baharu dibuka antara Perai dengan Bukit Mertajam pada 1 Julai tahun yang 1899.[6] Pada tahun 1902, jajaran kereta api Bukit Mertajam-Perai ditambahkan sehingga ke Nibong Tebal lalu disambungkan dengan sistem kereta api Perak. Di Selangor pula, sistem kereta api Selangor disambungkan ke utara dari Kuala Kubu ke Tanjung Malim dan bertemu dengan penyambungan sistem kereta api Perak ke selatan dari Tapah Road ke Tanjung Malim. Pembukaan landasan kereta api Tapah Road-Tanjung Malim-Kuala Kubu dibuka secara berperingkat sehingga tahun 1903.[10]

Selepas penyatuan sistem kereta api kepada F.M.S. Railways, jaringan kereta api lebih giat dikembangkan. Sistem kereta api Selangor disambungkan ke selatan sehingga bertemu dengan sistem kereta api Negeri Sembilan di Seremban pada akhir tahun 1902. Selepas itu, jaringan kereta api Tanah Melayu ditambah dengan pembukaan jajaran kereta api antara Seremban dengan negeri Melaka pada tahun 1905 dan Gemas 1906. Dengan ini sistem kereta api wujud di tiga negeri Melayu Bersekutu bersama dengan Melaka dan Seberang Perai.[10]