Am Penunggu_Gunung_Raya

Berlatarbelakangkan sebuah kampung yang bernama Gunung Raya, drama bersiri seram ini mengisahkan sebuah mimpi misteri yang sering menghantui empat individu, Azam, Intan, Mas dan Omar yang sebenarnya terikat dengan kisah silam masing-masing. Akhirnya, mereka berempat yang sudah lama terpisah ini pulang ke Kampung Gunung Raya kerana diselubungi mimpi-mimpi aneh. Ketika masih kanak-kanak, mereka berempat selalu dibuli oleh anak ketua kampung, Dayak (Atta Imran). Suatu hari, mereka memperdayakan Dayak ke perigi berhantu yang terletak di tengah hutan. Dayak terjatuh dan mati.

Tanpa diketahui, darah Dayak telah membebaskan iblis iaitu Penunggu Gunung Raya yang dikurung dalam peti kuno di bawah perigi. Atas tunjuk ajar Lebai Awang (Rahhim Omar), mereka berjaya menumpaskan iblis tersebut. Namun, hasil daripada kejadian tersebut telah menyebabkan mereka hilang ingatan dan dihantar ke bandar bagi memulakan kehidupan baru.

Namun, Tok Sumun (Rosli Sako) berasa sangsi akan kematian anaknya dan mahu menuntut bela. Maka, Tok Sumun telah menyeru kepada Penunggu Gunung Raya untuk terus mengganggu pembunuh anaknya. Setelah sekian lama, Azam, Intan, Mas dan Omar kini merasakan nyawa mereka terancam selain diburu rasa ketakutan atas dosa yang dilakukan. Segala misteri dan rahsia asal usul mereka bakal terungkai.