Penyakit

Penyakit (Tulisan Jawi: ڤڽاكيت) adalah keadaan tidak normal pada badan atau minda yang menyebabkan ketidakselesaan, disfungsi, atau tekanan/stres kepada orang yang terbabit atau berhubung rapat dengannya. Kadang kala istilah ini digunakan secara umum untuk menerangkan kecederaan, kecacatan, sindrom, simptom, keserongan tingkah laku, dan variasi biasa sesuatu struktur atau fungsi, sementara dalam konteks lain boleh dianggap sebagai kategori yang boleh dibezakan.Terdapat pelbagai jenis penyakit yang mengancam manusia. Penyakit ini boleh disebabkan oleh kuman, bakteria, virus, racun, kegagalan organ berfungsi, dan juga oleh penyakit baka/keturunan.Patologi merupakan ilmu kajian penyakit. Pengelasan penyakit secara saintifik pula dirujuk sebagai nosologi. Pengetahuan umum mengenai penyakit dan rawatan penyakit dikenali sebagai perubatan.Praktik perubatan dahulu kadang kala membezakan penyakit, yang mempunyai sebab khusus atau beberapa penyebab (dikenali sebagai etiologinya), berbeza dari sindrom, yang merupakan himpunan tanda dan/atau simptom yang berlaku serentak. Perbezaan takrif ini didapati kurang tepat kerana kebanyakan sindrom telah berjaya dikenal pasti. Pada masa yang sama, banyak istilah perubatan yang menggambarkan simptom atau ketidaknormalan, mungkin dirujuk sebagai penyakit dalam banyak konteks, terutama sekiranya punca penyakit tidak dapat dikenal pasti.Sesuatu keadaan boleh disahkan secara objektif, tetapi anggapan bahawa sesuatu "gejala"ialah penyakit bergantung pada pertimbangan nilai masyarakat. Sebagai contoh, pada masa kini, dalam kalangan masyarakat Amerika Utara, jumlah mereka yang menganggap masalah kebantutan dan obesiti sebagai penyakit telah meningkat sepanjang tempoh 40 tahun lalu, sebaliknya jumlah mereka yang menganggap homoseksual sebagai penyakit semakin berkurangan.Sesuatu gejala dianggap sebagai penyakit oleh sesuatu kebudayaan atau dalam satu julat masa, tetapi bukan dalam semua kebudayaan atau era. Masalah kecenderungan menentang, masalah sukar menumpukan perhatian, dan masalah personaliti merupakan antara contoh gejala yang dianggap sebagai penyakit dalam masyarakat Amerika Utara kini tetapi tidak pernah dianggap sedemikian dalam kebudayaan Amerika abad lalu atau bagi masyarakat lain pada masa kini. Kadang kala, sama ada sesuatu gejala dikira sebagai penyakit atau sindrom dan variasinya telah menjadi topik politik yang hangat lantaran kesannya kepada ekonomi dan masyarakat. Sebagai contoh, kejutan letupan (shell shock) dan masalah tekanan pascatrauma (post-traumatic stress disorder) merupakan telah dipolitikkan di Amerika Syarikat; demikian juga kecederaan pergerakan berulang (repetitive motion injury) di Australia.