Sejarah Perak_FM

Stesen radio khusus untuk Negeri Perak mula bertapak bila Radio Malaya Stesen Ipoh ditubuhkan pada 1956 di satu tapak berhampiran Lapangan Terbang Ipoh. Pada tahun 1966, sebuah bangunan stesen radio yang lengkap hasil ilham arkitek Iversen Van Sitteran didirikan di atas kawasan seluas 14 ekar di Jalan Dairy, Ipoh. Kontraktor yang mengendalikan pembinaannya ialah Syarikat Teoh Tay & Son dari Sungai Siput, Perak.

Radio Malaya Stesen Ipoh telah memulakan operasinya di bangunan berhampiran Jalan Dairy, Ipoh dengan anggota seramai 50 orang. Selain ruang pejabat, bangunan ini memuatkan 5 studio radio, auditorium dengan kapasiti 500 penonton dan bengkel kejuruteraan.

Pada hari ini Radio Malaya Stesen Ipoh telah dikenali sebagai Radio Malaysia Perakfm beroperasi di bangunan baharu dikenali sebagai Kompleks Penyiaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bangunan baharu ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al- Maghfur-lah pada 9 januari 2016 (Sabtu) bersamaan 28 Rabiul Awal 1437 hijri.

Bangunan baharu ini di lengkapi dengan 2 bilik konti siaran, 4 bilik suntingan audio, studio rakaman musik, studio Berita TV dan Auditorium yang boleh memuatkan sehingga 500 orang.

Bersiaran 18 jam sehari menemani pendengar dengan hiburan serta informasi bermula siaran seawal jam 6.00 pagi hingga jam 12.00 tengah malam dengan Tagline Radio Malaysia Perak FM adalah "Hiburan Berinformasi" sebagai slogan radio dan "Untuk Kome Aje" yang bermaksud "Untuk Anda" bagi segmen berdialek Perak.