Pertempuran Pertempuran_Hazir

Pertempuran bermula di sebuah lembangan yang terletak lebih kurang lima kilometer di timur Qinasrin, iaitu sebuah tempat bernama Hazir, sebuah perkampungan petani. Khalid mengatur pasukannya ke dalam formasi perang; Menas mengatur pasukannya dalam formasi sebuah ketumbukan di bahagian tengah dengan dua sayap, dan seperti Khalid, memimpin pasukannya di hadapan. Tidak lama kemudian, kedua-dua angkatan beraksi dan bertarung di Hazir. Menas terbunuh semasa pertempuran masih baru dan apabila berita kematiannya tersebar, para tenteranya menyerang dengan garang bagi membalas dendam tindakan Muslim yang telah membunuh panglima kesayangan mereka. Namun, mereka berhadapan dengan sebuah pasukan tentera yang terunggul pada zaman itu. Khalid membawa sebuah pasukan berkuda dan bergerak dari sisi sebuah sayap Byzantine dan menyerang pasukan Romawi dari belakang. Tidak lama kemudian seluruh pasukan Byzantine dikepung dan keazaman mereka untuk membalas dendam berkesudahan dengan kemusnahan keseluruhan tentera Byzantine—tidak seorang Romawi pun yang terselamat dalam pertempuran.[1]