Pertempuran Pertempuran_Yamen

Saki baki angkatan tentera laut Song ialah mempunyai 1,000 buah kapal tetapi sebahagian besar kapal itu digunakan untuk menampung rakyat jelata. Sementara itu, tentera laut Kublai memiliki 300 buah kapal perang yang dikemudikan oleh 20,000 kelasi yang berpengalaman. Pihak Kublai juga memiliki kelebihan di darat dan mempunyai bekalan lebihan.

Sesetengah tentera Song mencadangkan mereka perlu menguasai muara di teluk untuk memastikan pengunduran semua tentera mereka ke arah barat. Laksamana Song, Zhang Shijie mengabaikan cadangan ini atas alasan untuk menghalang tentera Song melarikan diri daripada pertempuran ini. Sebaliknya, beliau mengarahkan semua rumah, bangunan dan kubu di darat supaya dibakar atas alasan yang sama. Kesemua 1,000 buah kapal Song telah dirantai bersama untuk membentuk satu barisan yang melintang. Kapal maharaja Song berada di tengah barisan tersebut. Cara ini dibuat untuk mengelakkan mana-mana tentera Song melarikan diri daripada medan pertempuran dan ia jelas menunjukkan penentangan terakhir Song terhadap Mongol.

Pertempuran bermula apabila kapal-kapal Yuan membawa bahan-bahan mudah terbakar dilontarkan ke arah barisan kapal Song. Namun, pihak Song telah menjangkakan strategi Yuan lalu mengecat kapal-kapal mereka siap-siap dengan lumpur bagi mengelakkan kebakaran. Song juga memasang galah yang besar untuk menghalang kapal api Yuan menghampiri kapal-kapal mereka. Yuan telah menyekat laluan ke teluk sekali gus memaksa tentera Song memakan makanan kering dan minum air sungai buat beberapa hari. Hal ini sama sekali tidak mematahkan semangat perjuangan mereka.

Dengan melihat tentera musuh masih tidak mengalah, Yuan membahagikan empat unit kapal perang untuk melancarkan serangan daripada kesemua arah. Tentera Song tidak dapat mengubah kedudukan kapalnya kerana diikat dengan rantai. Yuan menyerang kapal musuh dari arah utara ketika air surut sebelum menyerang kapal musuh sekali lagi dari arah selatan ketika air pasang. Tentera Song masih menunjukkan keberanian untuk terus berjuang sambil mengenakan kerugian besar terhadap tentera Mongol apabila Song melakukan serangan balas anak panah.

Alunan muzik meriah dan gelak tawa dari kapal Yuan mengisi suasana bagi mengalihkan perhatian Song untuk berehat. Namun, muzik ini sebenarnya satu signal serangan Yuan. Seluruh kapal Yuan bertumpu ke arah bahagian tengah kapal Song sebelum mereka melancarkan serangan. Baki kapal Song yang lain hanya mampu melihat dan menyaksikan rakan seangkatan mereka terkorban termasuk ribuan orang awam mati. Seolah-olah tiada harapan lagi, pengiring rapat maharaja Song telah menyambar maharaja Song sebelum mereka berdua terjun ke dalam air untuk membunuh diri. Zhao Bing ialah maharaja terakhir dinasti Song.