Sinopsis Pesan_Pada_Hati

Mengisahkan tentang Yusuf dan Zulaikha yang sedang dilamun cinta namun cinta mereka terputus di tengah jalan. Pertemuan pertama di stesen komuter di antara Yusuf (Shukri Yahaya) dan Zulaikha (Nabila Razali) yang tidak disangka, dalam diam menimbulkan bibit cinta secara tidak sengaja.

Pada awalnya, Zulaikha jual mahal apabila Yusuf ingin mendekatinya. Zulaikha risau kerana ibunya, Hajar (Liza Abdullah) pernah berpesan untuk tidak jatuh cinta pada lelaki di Kuala Lumpur. Hajar kecewa apabila anak lelakinya, Aakif tidak pernah pulang ke kampung lagi setelah berkahwin dengan gadis bandar.

Namun Yusuf nekad melamar Zulaikha tetapi Zulaikha perlukan masa untuk memujuk ibunya. Pada hari yang sama Zulaikha pulang ke kampung untuk memberitahu mengenai lamaran Yusuf, mereka dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa Aakif dan isterinya Maryam. Kematian Aakif memberi kesan kepada Zulaikha. Dia tidak sampai hati ingin melukakan hati ibunya lagi jika dia memberitahu yang dia ingin berkahwin dengan Yusuf.

Zulaikha akhirnya membuat keputusan untuk memutuskan perhubungannya dengan Yusuf dan tidak lagi kembali ke Kuala Lumpur. Yusuf kecewa kerana Zulaikha menghilangkan diri tanpa khabar berita. Semenjak itu, Yusuf sedikit sebanyak mula mengubah jalan hidupnya. Pelbagai kejadian yang menimpanya membuatkan Yusuf bermuhasabah diri. Yusuf meninggalkan hobi dan perangai lamanya.

Ibu Yusuf, Rubi (Jasmin Hamid) gembira melihat perubahan Yusuf. Rubi terfikir adakah Yusuf masih mencintai Zulaikha? Rubi yakin Yusuf masih menanti Zulaikha walaupun Yusuf tidak pernah menunjukkannya. Takdir seperti mempermainkan mereka, apabila mereka kembali bertemu. Tak tersangka, Maryam sebenarnya adalah kakak Yusuf. Rahsia ini terbongkar semasa Zulaikha perlu mencari keluarga Maryam untuk meminta pertolongan membiayai rawatan Dayyan, anak Aakif dan Maryam yang jatuh sakit. Yusuf pula masih menyimpan dendam atas kematian Maryam dan melukai hatinya. Zulaikha hilang tanpa sebab. Dia menjadikan Zulaikha sebagai sasaran untuk dia membalas dendam.

Bagaimanakah kesudahan kisah cinta pandang pertama antara Yusof, lelaki bandar dengan Zulaikha, seorang gadis kampung ini? Kerana perbezaan darjat hubungan mereka dilontar kebencian. Mungkinkah tiada lagi cinta di hati Yusuf buat Zulaikha?