Kepentingan Pokok_Bakau

Pokok bakau ini merupakan salah satu spesies cepat tumbuh dan yang digunakan dalam penanaman semula hutan bakau bagi melindungi persisiran pantai (yang lain adalah Sonneratia dan Rhizophora). Ia jarang dijadikan arang dan biasanya digunakan bagi menyalai ikan atau getah.

Hutan bakau juga merupakan sumber balak kayu bakau yang tahan bagi pembinaan di kawasan lecah dan dalam air. Kayu bakau tanah mampu berendam dalam air tanpa rawatan rumit dan tahan lama.

Hutan bakau penting sabagai tempat anak ikan berlindung. Sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar, keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan tersebut akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan berlindung dan membesar. Selain itu hutan bakau turut digunakan oleh beratus jenis burung berhijrah sebagai tempat perlindungan untuk bertelur dan berehat. Selain itu ia menjadi habitat penting bagi pelbagai jenis ketam seperti ketam Nipah, dan udang. Di Sabah, hutan bakau juga merupakan habitat Kera Bekantan dan Sabah mempunyai kawasan bakau terbesar berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Hutan bakau juga bertindak sebagai pemampan hakisan ombak. Ini kerana akarnya yang berceranggah membantu mengukuh dan mengikat tanah daripada hakisan ombak, malah mampu meluaskan lagi kawasan tanah kerana daun dan sampah sarap yang terperangkap pada akarnya yang berserabut mendap dan menimbun. Kawasan hutan bakau biasanya tumbuh rapat dan padat dan memiliki akar udara yang berceranggah menonjol dari dalam air. Hutan bakau ini mampu memperlahankan aliran air, dengan itu membenarkan bendasing dan lumpur halus yang terapung dalam air untuk mendak membentuk kawasan berlumpur. Proses ini mampu untuk menebus guna tanah dan menghasilkan pantai baru.[1]

Hutan bakau juga terbukti mampu bertindak sebagai pemampan tsunami kerana sifatnya yang tumbuh secara padat dan akarnya yang kukuh dipersisiran kuala.[2] Oleh itu hutan bakau turut ditanam semula di Malaysia[3], dan Indonesia [4].