Sejarah Protokol_Capaian_Perutusan_Internet

IMAP direka oleh Mark Crispin pada tahun 1986 sebgai protokol peti surat jauh yang berbeza dengan protokol pendapatan kandungan peti surat iaitu POP yang digunakan secara meluas.[4]

IMAP asal

Protokol Capaian Mel Intrim (Interim Mail Access Protocol) yang asal dilaksanakan dalam bentuk pelanggan mesin Lisp dan pelayan TOPS-20.

Tiada lagi wujudnya mana-mana salinan spesifikasi protokol interim atau perisiannya. Walaupun beberapa perintah dan sambutannya serupa dengan IMAP2, namun protokol interimnya tiada penandaan perintah/sambutan, jadi sintaksnya tidak serasi dengan versi-versi IMAP yang lain.

IMAP2

Protokol interim ini terus diganti dengan Protokol Capaian Mel Interaktif (Interactive Mail Access Protocol, IMAP2) yang ditakrifkan dalam RFC 1064, kemudian dikemaskini oleh RFC 1176. IMAP2 memperkenalkan penandaan perintah/sambutan dan merupakan versi edaran umum pertama.

IMAP2bis

Dengan kemunculan MIME, IMAP2 dilanjutkan untuk menyokong struktur badan MIME serta menambah kefungsian pengurusan peti surat (penciptaan, penghapusan, penamaan semula, muat naik mesej) yang tiada dalam IMAP2. Semakan bereksperiman ini dipanggil IMAP2bis; spesifikasinya tidak pernah diterbitkan dalam bentuk bukan rangka. Versi-versi awal Pine diedarkan secara meluas dengan sokongan IMAP2bis (Pine 4.00 dan seterusnya menyokong IMAP4rev1).

IMAP4

Sebuah Kumpulan Kerja IMAP dibentuk dalam IETF pada awal 1990-an lalu mengambil alih tanggungjawab untuk rekaan IMAP2bis. Kumpulan Kerja IMAP WG menamakan semula IMAP2bis sebagai IMAP4 untuk mengelakkan kekeliruan dari usul IMAP3 dari kumpulan lain yang tidak pernah dilaksanakan; manakala nama penuh IMAP turut ditukar kepada Internet Message Access Protocol.

Terdapat beberapa kelemahan reka bentuk dalam IMAP4 asal (takrifan RFC 1730) yang timbul dalam pengalaman pelaksanaan, sehingga perlu disemak dan diganti oleh IMAP4rev1 dua tahun kemudian. Maka, sedikit sekali pelaksanaan pelanggan atau pelayan IMAP4 berdasarkan RFC 1730 kerana hayatnya yang singkat.

IMAP4rev1

Versi terkini IMAP sejak tahun 1996, iaitu IMAP versi 4 semakan 1 (IMAP4rev1), ditakrifkan oleh RFC 3501 yang pernah menyemak RFC 2060 dahulu.

IMAP4rev1 serasi dengan IMAP2 dan IMAP2bis; dan juga sedikit sebanyak serasi IMAP4.

Berbeza dengan kebanyakan protokol Internet lama, IMAP memberi sokongan natif kepada mekanisme log masuk sulit. Biarpun pelayar IMAP boleh dikonfigurasi untuk membenarkan penghantaran kata laluan dalam bentuk teks biasa, RFC 3501 memandatkan sokongan untuk kaedah pengesahan yang menghambat kerentanan ini. Trafik IMAP boleh disulitkan dengan Transport Layer Security (SSL), sama ada dengan menembusi komunikasi IMAP atas SSL pada port 993, atau mengeluarkan perintah STARTTLS dalam sesi IMAP yang dihubungi (rujuk RFC 2595).