Sejarah Pulai_Chondong

Asal usul

Nama Pulai Chondong diambil sempena dengan nama Tok Pulai Chondong. Nama sebenarnya ialah Haji Abdu l Samad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Pulai Chondong al-Kalantani (telah disingkatkan kepada Tok Pulai Chondong). Beliau dilahirkan semasa pemerintah Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1207H/1792M.

Beliau merupakan saudara dua pupu kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Menurut sumber, Haji Hasyim (datuknya) berasal dari keturunan Sultan Ahmad Minangkabau, Sumatera, yang berhijrah ke Patani pada abad ke-18.

“Setelah belajar di Patani, beliau menjadi ulama, digelar orang ‘Tok Saraf’ kerana pakar dalam ilmu tersebut. Imam Hasyim mempunyai tiga anak iaitu Faqih Haji Abdullah, Faqih Ali dan Faqih Deramat. Faqih Haji Abdullah ialah ayah Tok Pulai Chondong. Akhirnya imam Hasyim, anaknya Faqih Haji Abdullah dan Wan Mek pindah ke Kelantan. Selepas imam Hasyim dan keluarganya sampai di Kelantan, mereka membuka perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit.

Imam Hasyim meninggal dunia di Kampung Bukit, selanjutnya anak beliau Faqih Haji Abdullah dilantik menjadi imam di situ. Faqih Haji Abdullah apabila meninggal dunia dikebumikan di Kampung Pisang, Perol, Kota Bharu...” (Wan Kamal Mujani dan Zuharyati Yusof)

Lain-lain

Nama Pulai Chondong juga dikaitkan dengan sebuah pokok pulai yang sangat besar di tengah-tengah kawasan tersebut. pokok itu juga agak condong strukturnya, menyebabkan orang sekitar menamakan kawasan tersebut Pulai Chondong