Puncak_Alam

Puncak Alam merupakan sebuah bandar dalam daerah Kuala Selangor, Malaysia. Ia terletak dalam lingkungan 20 kilometer ke arah barat laut daripada bandar Shah Alam, ibu negeri Selangor. Bermula sebagai sebuah estet kelapa sawit di bawah selenggaraan FELDA dalam kawasan yang dahulunya dikenali sebagai Bukit Cherakah, bandar ini mula dibangunkan dalam tahun 1990-an di bawah pengurusan Bukit Cherakah Development Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang beroperasi di Shah Alam. Bermula daripada tarikh 15 Mei 2001, syarikat pemaju hartanah berkenaan telah bertukar nama kepada Puncak Alam Housing Sdn Bhd dan berpindah operasi serta membuka pejabat jualan di kawasan Puncak Alam.Pada peringkat awal pelancaran, luas keseluruhan kawasan Puncak Alam dianggarkan pada keluasan 14,000 ekar (57 km persegi), walau bagaimanapun, akibat kemelesetan ekonomi pada akhir 90-an telah menyaksikan pengecilan keluasan saiz sebenar bandar berkenaan, di mana tanah-tanah asal yang diperuntukkan untuk Puncak Alam telah dibangunkan secara usahasama dengan pemaju-pemaju hartanah yang lain sehingga terbitnya bandar-bandar / pakej kecil di bawah nama dan konsep-konsep yang berbeza misalnya Alam Perdana, Alam Jaya, Shah Alam 2, Ambang Suria dan pelbagai sub-bandar lain.