Pertarungan Quincy

Tidak seperti shinigami yang menggunakan kuasa semangat dalaman untuk bertarung, Quincy menyerap tenaga semangat daripada persekitaran. Mereka biasanya menyerap tenaga semangat daripada atmosfera dan dapat berbuat demikian dengan lebih mudah di kawasan yang tepu dengan zarah-zarah semangat seperti Soul Society dan Hueco Mundo. Kepada seorang Quincy berkemahiran tinggi, kedua-dua zarah semangat dan tenaga semangat boleh bertindak sebagai sumber kuasa. Quincy juga boleh menggunakan tenaga yang dikumpul oleh mereka atau menggunakan tiub perak yang diisi dengan tenaga semangat (gintō) untuk melakukan pelbagai teknik offensif, sokongan dan pertahanan seperti kidō shinigami.

Kuasa Quincy boleh dipertingkat dengan menggunakan sarung tangan sanrei (散霊). Seseorang Quincy perlu menjalani latihan intensif selama seminggu untuk menggunakan sarung tangan itu. Ia beroperasi dengan menolak zarah semangat. Sebagai akibatnya, Quincy itu menghadapi kesukaran dalam menyeru busurnya. Quincy yang berjaya menggunakan kuasa mereka dengan memakai sarung tangan ini dapat meninggikan keupayaannya dengan drastik. Latihan ini juga merupakan asas kepada bentuk terakhir Quincy.

Seorang Quincy yang memakai sarung tangan sanrei boleh menanggalkannya pada saat-saat bahaya dan memasuki satu tahap yang dikenali sebagai tahap terakhir Quincy. Dengan menanggalkan artifak ini, dia akan memperoleh peningkatan kuasa secara mendadak yang diiringi dengan perubahan fizikal. Dalam bentuk ini, Quincy itu akan menyerap tenaga daripada persekitaran pada kadar yang amat tinggi sehingga mereka boleh merobohkan binaan yang diperbuat daripada zarah semangat. Maka, dia mampu bertarung dengan kekuatan dan kelajuan maksimum sehingga mampu menewaskan seorang kaptan shinigami. Tetapi, bentuk ini mempunyai keburukannya. Memandangkan tiada tubuh manusia boleh menampung kuasa dalam kuantiti sebanyak itu, selepas tempoh tertentu, badan Quincy itu akan mengurung dirinya daripada segala kuasa semangat untuk melindungi sifatnya sekaligus menghapuskan keupayaannya sebagai seorang Quincy. Bentuk terakhir ini digunakan sebagai langkah terakhir kerana prosedur untuk mengembalikan kuasa yang telah hilang itu sangat berisiko.

Satu-satunya kaedah untuk memperoleh kuasa Quincy yang telah hilang selepas menggunakan bentuk terakhir adalah dengan meletihkan individu berkenaan dari segi fizikal dan mental, dan kemudiannya memanahnya dengan panah semangat 19 mm ke kanan jantungnya. Selepas ini, satu parut berbentuk bintang berbucu lima akan kelihatan di tempat panahan itu dan kuasanya akan terpulih.

Barangan Quincy

Quincy mempunyai pelbagai artifak dan peralatan yang dapat membantu mereka.

  • Umpan hollow: Item ini kecil, berbentuk seperti syiling dan berfungsi untuk mengumpan hollow apabila dihancurkan. Apabila item ini digunakan oleh Uryū, umpan tersebut mempunyai kuasa yang cukup untuk menarik perhatian satu Menos Grande kelas Gillian dari Hueco Mundo. Tetapi, Uryū berkata bahawa umpan tersebut tidak sepatutnya begitu efektif.
  • Gelang Quincy (装身具, soushingu): Item ini diperkenalkan dalam babak Bount. Ia direka untuk meniru kuasa semula jadi seorang Quincy. Gelang ini berfungsi untuk menyerap zarah-zarah semangat dari persekitaran seperti yang dilakukan oleh mana-mana Quincy dalam pertarungan. Hanya mereka yang benar-benar mahir dalam membentuk dan mengawal zarah semangat mampu menggunakan gelang ini dengan baik. Apabila diaktifkan, ia membentuk satu busur besi di tangan penggunanya dan memberikan satu set pakaian Quincy yang bersesuaian dengan Quincy tersebut. Tetapi, gelang ini tidak stabil dan rapuh serta mudah pecah apabila digunakan secara berpanjangan. Busur yang dicipta itu pula mempunyai satu kelemahan yang besar; zarah semangat mesti dikumpul dan dicaj sebelum digunakan atau kuasa sebenar panah yang dibina tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Selain itu, panah yang dilepaskan itu tidak mempunyai hala tuju yang pasti - kadang-kadang ia boleh terpesong dari targetnya. Tambahan pula, apabila panah dilepaskan pada tahap kuasa maksimum, ia boleh meletup sekaligus memusnahkan penggunanya dan apa-apa di sekitarnya. Uryū berjaya mengatasi kebanyakan daripada masalah yang dinyatakan di atas dengan memaksa busurnya menggunakan kuasa dalaman sendiri dan bukannya zarah semangat dari persekitaran.
  • Salib Quincy (滅却十字, mekkyaku jūji): Salib ini ialah kelengkapan wajib kepada seorang Quincy kerana ia berperanan menumpukan kuasa semangat Quincy tersebut bagi menyeru busurnya. Ia tidak semestinya berbentuk salib memandangkan salib Quincy kepunyaan Ryūken berbentuk bintang berbucu lima.
  • Sarung tangan Sanrei (散霊手套, sanrei shutō): Sarung tangan ini merupakan artifak Quincy yang berkuasa tinggi yang berfungsi meningkatkan keupayaan seorang Quincy secara mendadak. Tetapi, untuk mencapai tahap tersebut, satu sesi latihan yang sukar dan bahaya (memakai sarung tangan Sanrei selama seminggu sambil melepaskan anak panah secara berterusan) perlu dijalani untuk belajar menguasainya. Fungsi sarung tangan ini adalah meneraburkan zarah semangat di sekitarnya.
  • Seele Schneider (魂を切り裂くもの, kon o kirisaku mono, bermaksud yang menghiris semangat, bahasa German untuk "penghiris semangat"): Seele Schneider pada dasarnya adalah sebatang panah yang juga boleh berfungsi sebagai sebilah pedang dalam kombat jarak dekat. Ia lebih panjang daripada panah biasa dan berfungsi seperti gergaji rantai - zarah semangat bilahnya bergetar pada frekuensi yang amat tinggi dan boleh merenggangkan ikatan molekul di antara mana-mana jirim (asas binaannya ialah zarah semangat) supaya penggunanya dapat menyerap zarah semangat yang terbebas itu. Uryū menjelaskan bahawa dengan menggunakan Seele Schneider, kuasa semangatnya dapat ditingkatkan. Sebenarnya, Seele Schneider yang digunakan Uryū dicuri dari sebuah bilik simpanan di bawah hospital ayahnya.
  • Tiub perak (銀筒, gintō): Tiub perak ialah kapsul kecil berisi cecair yang menyimpan tenaga semangat dan digunakan oleh Quincy untuk menjampi sebagaimana seorang shinigami menggunakan kidō. Jampi-jampi ini diaktifkan dengan kata-kata seruan tertentu.
  • Perak yang disintesis oleh semangat (霊化銀, reika gin): Digunakan oleh Ryūken untuk membina bilik rahsia di bawah hospitalnya yang digunakan sebagai pusat latihan anaknya.
  • Kaca yang disintesis oleh semangat (霊化硝子 reika gurasu): Seperti perak yang disintesis oleh semangat, kaca yang disintesis oleh semangat juga digunakan untuk membina bilik rahsia di bawah Hospital Karakura.