Qutub_Minar
Qutub_Minar

Qutub_Minar

Qutub Minar (Hindi : क़ुतुब मीनार Urdu: قطب منار) ialah menara bata tertinggi di dunia, dan merupakan contoh seni bina India-Islam yang penting. Menara tersebut terletak di dalam kompleks Qutb di selatan Delhi, India. Qutub Minar dan monumen-monumennya disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.Qutub Minar berketinggian 72.5m (237.8 kaki) dengan 399 anak tangga menuju ke puncak. Menara tersebut malangnya kini telah ditutup kepada pelawat. Diameter bahagian tapak ialah 14.3m manakala lantai teratas berdiameter 2.75m.Bangunan sekeliling adalah contoh-contoh terbaik kerja seni orang India dari masa ia dibina pada tahun 1193. Menara kedua berada dalam pembinaan dan dirancang supaya lebih tinggi daripada Qutub Minar itu sendiri. Pembinaannya terhenti apabila ia mencecah 40 kaki tinggi.Diilhamkan oleh Menara Jam di Afghanistan dan mahu mengatasinya, Qutb al-Din Aibak, pemerintah Islam Delhi yang pertama, memulakan pembinaan Qutub Minar pada tahun 1193, tetapi hanya dapat menyiapkan tapaknya sahaja. Pewaris beliau, Iltutmish, menambah tiga tingkat lagi dan, pada tahun 1368, Firuz Shah Tughluq membina tingkat kelima dan terakhir. Perkembangan gaya seni bina dari zaman Aibak hingga Tughluq jelas ternyata dalam menara tersebut. Seperti menara-menara terdahulu yang didirikan oleh Bani Ghaznawi dan Bani Ghuri di Afghanistan, Qutub Minar mengandungi beberapa syaf bebibir berlapis dan silinder yang dipisahkan oleh beranda-beranda yang disokong oleh sangga-sangga Muqarnas. Menara tersebut dibina dengan menggunakan batu pasir merah berjejalur yang dihiasi dengan ukiran-ukiran rumit dan ayat-ayat al-Quran. Tujuan pembinaan monumen yang indah ini telah diduga sekian lama. Ia dapat memainkan peranan umum sebagai sebuah menara yang memanggil orang ramai untuk bersolat di Masjid Quwwat al-Islam, masjid terawal yang masih yang dibina oleh sultan-sultan Delhi. Kemungkinan-kemungkinan lain ialah sebagai menara kemenangan, monumen yang menandakan kehebatan Islam, atau sebagai menara pemerhati bagi pertahanan. Kontroversi juga menyelubungi asal-usul nama menara tersebut. Ramai sejarawan percaya bahawa Qutub Minar dinamakan sempena nama sultan berketurunan Turki pertama Qutb-ud-Din Aibak tetapi sejarawan lain menegaskan bahawa ia dinamakan sebagai menghormati Qutb al-Din Bakhtiar Kaki, seorang wali dari Baghdad yang datang untuk tinggal di India yang amat dimuliakan oleh Iltutmish. Menurut inskripsi di atas permukaannya, ia dibaikpulih oleh Firuz Shah Tughluq (1351-1388) dan Sikandar Lodi (1489-1517). Major R.Smith juga membaikpulih menara tersebut pada tahun 1829.