R._Ismail

R. Ismail merupakan seorang penyanyi Melayu era 1960-an dan awal 1970-an yang sering mendendangkan lagu-lagu di radio dan TV di Malaysia dan Singapura. Dilahirkan di Singapura pada 1 Oktober 1937 dengan nama Semail Abdul Rahman, beliau adalah anak kepada penyanyi tahun 1930-an dan 1940-an iaitu A. Rahman. R. Ismail banyak merakam lagu untuk soundtrack filem-filem keluaran Cathay Keris dan Shaw Brothers, dua syarikat gergasi perfileman di Singapura, selain merakam lagu untuk album-album beliau sendiri. Pelakon yang paling banyak meminjam suara R.Ismail untuk filem-filem lakonannya ialah Noordin Ahmad kerana suara mereka seakan-akan sama. Pada pertengahan tahun 1970-an, nama R. Ismail mula tenggelam dari persada seni suara Melayu dan beliau meneruskan kehidupannya sebagai pemandu lori di Singapura. Namun begitu, dengan kemunculan siaran Radio Klasik kelolaan Radio & Televisyen Malaysia (RTM), beliau muncul kembali dengan beberapa persembahannya sekali-sekala, sehingga akhirnya beliau memutuskan untuk menetap di Kuala Lumpur. Salah seorang anaknya, Elfee Ismail, turut mengikut jejak langkahnya sebagai penyanyi di Singapura.