Kerjaya Raja_Azmi

Sebagai penerbit, Raja Azmi menggalas tugasnya menerusi filem Black Widow Wajah Ayu arahan U-Wei Hj Saari yang dibintangi oleh abang iparnya ketika itu, Misbun Sidek selain Hashimah Yon, Zaidi Omar.[1] Kak Mi ialah pencetus cerita dan idea asal filem ini yang diterbitkan pada 1994.[1] Pada tahun 1995, beliau menjadi penerbit dan pengarang komik Anak-anak Sidek yang berkisarkan tentang kisah benar Sidek bersaudara. Selain itu, beliau turut menyumbangkan ruangan Coretan Rasa Hati dan Let’s Exercise With Kak Mi dalam komik tersebut. Beliau juga menyumbangkan suaranya untuk watak Rukinah dalam siri animasi dengan tajuk sama.

Pada tahun 2001, Raja Azmi tampil dengan filem Cinta 200 Ela, arahan Shadan Hashim yang diadaptasi daripada novel tulisannya, Cinta 100 Ela yang dikelaskan 18SX. Filem ini dibintangi oleh Rashid Sidek dan Raja Azura sebagai pelakon utamanya.[1]

Pada tahun 2011, Raja Azmi menerbitkan filem ...Dalam Botol yang tajuk asalnya adalah Anu Dalam Botol, arahan Khir Rahman. Ia berkisarkan tentang hubungan Ruby atau Rubidin dan Ghaus yang merupakan pasangan bercinta sejenis. Filem ini dilakonkan oleh Arja Lee, Wan Raja, Diana Danielle dan Ogy Ahmad Daud.[1] Beliau sebelum ini dilaporkan akan menerbitkan filem biopik Anak-anak Sidek.[2]

Beliau menduduki kerusi pengarah menerusi filem Enjin No. 9 yang ditayangkan pada 29 Mac 2018.[3]