Sejarah Red_Velvet

Pra-debut

Seulgi merupakan ahli pertama untuk dipilih sebagai pelatih SM Entertainment melalui sebuah ujian pemilihan pada tahun 2007 manakala Irene dipilih pada tahun 2009. Yeri telah dipilih melalui Ujian Pemilihan Global SM di Amerika Syarikat pada tahun 2011. Pada tahun 2012, Wendy dan Joy telah dipilih melalui Ujian Pemilihan Global SM di Kanada dan Seoul.[1] Irene, Seulgi dan Wendy telah diura-urakan akan membuat debut sebagai sebuah kumpulan pada bulan Julai yang kemudiannya disahkan oleh SM Entertainment. Dengan tambahan Joy, kumpulan ini akan membuat debut sebagai Red Velvet, kumpulan wanita SM Entertainment pertama dalam tempoh lima tahun sejak f(x).[2]

2014–2015

Red Velvet di Konsert K-pop Hallyu Incheon pada bulan Oktober 2015.

Pada 1 Ogos 2014, Red Velvet membuat penampilan pentas pertama mereka di dalam program muzik, Music Bank.[3] Lagu single pertama mereka, "Happiness" dikeluarkan secara digital pada 4 Ogos.[4] Video muzik asal "Happiness" mendapat 2 juta tontonan di YouTube dalam tempoh 24 jam sebelum dipadam kerana kontroversi gambar latar belakang dan digantikan dengan versi baru yang telah disunting. "Happiness" merupakan video muzik K-pop kedua yang paling banyak ditonton pada bulan Ogos. Red Velvet mengeluarkan lagu single kedua mereka, "Be Natural" dan video muzik lagu itu pada 13 Oktober.[5] Kumpulan ini memulakan promosi mereka pada 9 Oktober dan membuat kemunculan pertama dalam M! Countdown.[6]

Pada 11 Mac 2015, bekas ahli S.M. Rookies, Yeri secara rasminya diumumkan menjadi ahli kumpulan.[7] Pada 15 Mac, album mini pertama kumpulan ini, Ice Cream Cake dikeluarkan.[8] Kumpulan ini mempromosi kedua-dua lagu "Automatic" dan "Ice Cream Cake" dimana video muzik dikeluarkan pada 14 dan 15 Mac. Pada 27 Mac, mereka memenangi trofi program muzik pertama mereka di dalam Music Bank dan memenangi kesemua program muzik Korea Selatan pada minggu itu. Album ini kemudiannya menjadi album paling laris oleh kumpulan wanita di Korea Selatan untuk separuh pertama tahun 2015 di Carta Hanteo.[9] Pada bulan Ogos 2015, Red Velvet mengadakan persembahan pertama mereka di Amerika Syarikat semasa KCON yang berlangsung di Los Angeles, California.

Album penuh pertama Red Velvet, The Red dikeluarkan pada 9 September 2015 dengan sepuluh lagu termasuk lagu utama, "Dumb Dumb".[10] Album ini mencapai kejayaan dan menerima ulasan positif daripada pengkritik. The Red menduduki tempat pertama dalam Carta Album Dunia Billboard' dan Carta Album Gaon. Ia juga muncul dalam senarai 10 Album K-Pop Terbaik oleh Billboard pada tahun 2015. "Dumb Dumb" menduduki tempat ketiga dalam carta Lagu Digital Dunia Billboard. Lagu ini menduduki tempat teratas dalam senarai 20 Lagu K-pop Terbaik pada tahun 2015 oleh Dazed.[11] Video muzik "Dumb Dumb" merupakan satu-satunya lagu bukan Bahasa Inggeris yang dimasukkan dalam senarai 10 Video Muzik Terbaik pada tahun 2015 oleh Rolling Stone.[12] Pada 18 Disember, kumpulan ini mengambil bahagian dalam projek istimewa musim sejuk SM Entertainment, Winter Garden bersama-sama f(x) dan BoA. Mereka mengeluarkan lagu bertajuk "Wish Tree".[13]

2016–2017

Red Velvet di Anugerah Muzik Seoul ke–25 pada 14 Januari 2016.

Album mini kedua Red Velvet, The Velvet dijadual dikeluarkan pada 16 Mac 2016 tetapi sepuluh minit sebelum ia dikeluarkan, SM Entertainment mengumumkan bahawa pengeluaran video muzik dan album telah ditangguhkan.[14] Album ini dan lagu "One of These Nights" dikeluarkan pada 17 Mac.[15]

Red Velvet mengeluarkan album mini ketiga mereka, Russian Roulette pada 7 September. Album ini mengandungi tujuh lagu termasuk lagu utama bertajuk "Russian Roulette".[16] Pada 13 September, Red Velvet memenangi program muzik pertama untuk lagu "Russian Roulette" di dalam The Show.[17] Lagu ini menduduki tempat kedua di dalam Carta Digital Gaon dan Carta Lagu Digital Dunia Billboard yang merupakan kedudukan tertinggi mereka di dalam kedua-dua carta pada ketika itu.

Pada 1 Februari 2017, Red Velvet mengeluarkan album mini keempat mereka, Rookie.[18] Album mini ini mengandungi enam lagu termasuk lagu utama, "Rookie" dan sebuah lagu solo oleh Wendy bertajuk "Last Love". Album ini menduduki tempat teratas Carta Album Gaon Mingguan dan Carta Album Dunia Billboard. Kumpulan ini memenangi program muzik pertama mereka untuk lagu "Rookie" di dalam The Show pada 7 Februari disusuli dengan kemenangan di dalam Show Champion, M Countdown, Music Bank dan Inkigayo. Pada 31 Mac, kumpulan ini mengeluarkan lagu untuk SM Station 2 bertajuk "Would U".[19]

Pada 9 Julai, Red Velvet mengeluarkan album mini The Red Summer bersama lagu utama "Red Flavor".[20] Album mini ini mencapai kejayaan komersial dengan menduduki tempat teratas Carta Album Gaon dan Carta Album Dunia Billboard. Ia merupakan buat kali ketiga mereka menduduki tempat pertama dan berjaya mencatat rekod sebagai album nombor satu terbanyak di dalam carta oleh sesebuah kumpulan wanita k-pop. Lagu "Red Flavor" juga menduduki tempat teratas di dalam Carta Digital Gaon dan Carta Muat Turun Gaon manakala empat lagu lain juga berada di kedudukan 50 Teratas di dalam Carta Digital.[21]

Red Velvet mengeluarkan album penuh kedua mereka, Perfect Velvet pada 17 November bersama lagu utama, "Peek-a-Boo". Album ini menduduki tempat teratas Carta Album Dunia Billboard. Lagu "Peek-a-Boo" menduduki tempat ke–2 dalam Carta Lagu Digital Dunia Billboard. Di Korea Selatan, album ini dan lagu "Peek-a-Boo" menduduki tempat ke–2 dalam Carta Album Gaon dan Carta Digital Gaon.

2018–sekarang

Kumpulan ini mengeluarkan album The Perfect Red Velvet pada 29 Januari 2018. Album ini mengandungi tiga lagu baru dan kesemua lagu dari album Perfect Velvet dengan lagu "Bad Boy" dipromosi sebagai lagu utama.[22] Album ini menduduki tempat teratas Carta Album Gaon selepas ianya dikeluarkan manakala lagu "Bad Boy" menduduki tempat pertama dalam Carta Muat Turun Gaon dan tempat kedua dalam Carta Digital Gaon.[23] Album The Perfect Red Velvet juga menduduki tempat ketiga dalam Carta Album Dunia Billboard manakala lagu "Bad Boy" menduduki tempat kedua dalam Carta Lagu Digital Dunia. Red Velvet meraih kemenangan program muzik pertama untuk lagu "Bad Boy" pada 8 Februari dalam Show Champion.[24]

Pada 20 Mac 2018, Red Velvet telah diumumkan akan membuat persembahan bersama artis Korea Selatan lain yang terpilih untuk konsert antara-Korea di Pyongyang, Korea Utara. Ini menjadikan mereka artis pertama dari SM Entertainment dalam tempoh lima belas tahun sejak Shinhwa untuk membuat persembahan di Korea Utara.[25] Pada 30 Mac, kumpulan ini mengumumkan bahawa mereka akan secara rasminya membuat debut di Jepun pada bulan Julai melalui pengeluaran sebuah lagu.[26]

Pada 23 Mei, tajuk album mini Bahasa Jepun pertama mereka diumumkan sebagai #Cookie Jar (dibaca sebagai Hashtag Cookie Jar). Album ini dikeluarkan pada 4 Julai oleh label Avex Trax dan mengandungi enam buah lagu baru termasuk versi Bahasa Jepun lagu "Dumb Dumb", "Russian Roulette" dan "Red Flavor". Album ini juga mengandungi lagu “#Cookie Jar” ,”Aitai-tai” and “‘Cause it’s you”.[27] Album mini ini membuat debut di tempat ketiga di dalam Carta Album Mingguan Oricon dan sebanyak 26,124 salinan terjual semasa minggu pertama pengeluaran di Jepun.

Pada 6 Ogos , Red Velvet mengeluarkan album mini istimewa musim panas kedua mereka bertajuk Summer Magic yang mengandungi lapan buah lagu. Pada 9 November, label rakaman Red Velvet mengumumkan bahawa kumpulan ini akan mengeluarkan album ketiga mereka untuk tahun ini. Album mini tersebut bertajuk RBB, dikeluarkan pada 30 November. Ia mengandungi enam buah lagu termasuk lagu utama bertajuk "RBB (Really Bad Boy)" berserta versi Bahasa Inggeris lagu tersebut.

Rujukan

WikiPedia: Red_Velvet http://news.chosun.com/site/data/html_dir/2018/02/... http://www.dazeddigital.com/music/article/28607/1/... http://starn.hankyung.com/global/en/news/index.htm... http://tenasia.hankyung.com/archives/1174774 http://tenasia.hankyung.com/archives/464594 http://koreajoongangdaily.joins.com/news/article/a... http://www.koreadaily.com/news/read.asp?art_id=347... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2016... http://kpopherald.koreaherald.com/view.php?ud=2018... http://www.koreaherald.com/view.php?ud=20140730000...