Rinait

Rinait atau inaait ialah puisi mantera lisan Kadazandusun yang diungkapkan semasa bobolian (bomoh) menjalankan upacara adat seperti untuk menyembuhkan penyakit, mententeramkan alam selepas bencana dan semasa upacara Tadau Kaamatan. Ritual ini dilaksanakan selama beberapa hari pada waktu siang dan malam untuk menjalankan upacara yang lain dengan pertolongan pembantu bobolian. Kebanyakan bobolian berkeupayaan berhubung dengan makhluk ghaib dan gaya bahasa yang digunakan dalam rinait adalah klasik dan kebanyakan perkataannya tidak difahami oleh penutur bahasa Kadazandusun yang biasa. Pelaksana rinait dalam masyarakat Kadazandusun terdiri daripada tiga golongan iaitu bobolian, pembantunya dan orang awam. Pembantu bobolian akan menghafal lebih kurang 180 jenis rinait yang diajar oleh bobolian mereka sebelum menjadi bobolian sepenuhnya. Orang awam juga boleh melafazkan rinait namun ia lebih mudah, pendek dan senang difahami.[1]Rinait ialah ajaran daripada roh yang turun dari syurga (Hibabou) dan dipelajari oleh seorang wanita yang menghadapi roh tersebut.[2] Rinait yang terpanjang dan terpenting adalah yang digunakan dalam upacara padi dengan semangat padi Bambarayon.[3]