SKS

Senapang jenis Simonov SKS (Samozaryadnyj Karabin Simonova = Simonov Self-loading Carbine) adalah sejenis senapang karbin separa automatik yang dicipta oleh pencipta Soviet Union bernama Sergei Gavrilovich Simonov (1894 - 1986). Prototaip SKS dibuat pada awal tahun 1945, dan diuji di medan tempur dalam peperangan menentang tentera Jerman. Selepas tahun 1945, karbin SKS dan katrij pelurunya diperbaiki dan diterima untuk kegunaan tentera Soviet dalam tahun 1949 bersama-sama senapang tempur AK-47. SKS diguna dengan meluas sehingga tahun 1970-an dan selepas itu mula ditarik balik dari kegunaan utama dan kini sama ada disimpan dalam simpanan ataupun telah dilupuskan sepenuhnya oleh pengguna-penggunanya. Walaupun demikian, senapang SKS ini masih digunakan untuk upacara istiadat rasmi oleh Pasukan Pengawal Kehormat Tentera Rusia (Russian Honor Guards).