Kerjaya Safura_Yaacob

Nyanyian

Pada awal 1990an, Safura mula menjinakkan diri dalam dunia nyanyian sebagai penyanyi di kelab malam. Hanya pada tahun 1996, beliau mula diikat kontrak oleh BMG Music Malaysia sebagai penyanyi rakaman. Album Sedalam Mana Cintamu terbitan komposer LY menerima nominasi di Anugerah Industri Muzik ke-5 untuk kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik (AIM) dan juga Artis Baru Terbaik. Album itu menjadi hits dan disinambungkan menerusi album susulan berjudul Mencari Mahligai pada tahun 1998. Pada era penghujung 1990an, beliau mempunyai beberapa buah lagu yang menduduki kedudukan nombor satu carta muzik seperti Sedalam Mana Cintamu, Rinduku Semakin Kuat, Jangan Menangis Sayang, Andang Cintaku Menyala dan Dian Asmara. Ketika itu beliau membawakan muzik pop melayu yang mendayu-dayu ciptaan komposer Eddie Hamid. Kerjaya nyanyiannya menjadi pudar apabila beliau tidak lagi berpeluang merakam lagu-lagu baharu setelah tamat kontrak bersama BMG.[2]

Lakonan

Pada tahun 2001 beliau mencuba bakat sebagai pelakon menerusi pementasan Ronggeng Rokiah. Beliau membawakan watak sebagai penari joget bernama Rokiah dan mendapat perhatian ramai. Pada tahun 2003, setelah tamat kontrak bersama BMG, beliau meneruskan karier sebagai pelakon. Lakonan beliau yang pertama adalah menerusi drama bersiri Persatuan Isteri Isteri Tua di RTM2. Puncak kejayaannya sebagai pelakon adalah apabila beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2006 menerusi watak pelacur dalam drama Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan. Pada tahun 2010 beliau membuat persembahan dalam teater muzikal Terima Kasih Cinta.