Pasupata Saivisme

Pengenalan

Mazhab atau kultus Pasupata atau Pasupati ialah suatu mazhab purba. Kepercayaan ini dapat dibuktikan dengan beberapa penemuan berikut: Penggunaan perkataan 'Pati, 'Pasa', 'Prasada' telah disebut dalam Svetasvatara Upanishad (1.11; 6.9; 3.20), penyembahan Shiva dalam rupa Linga, amalan mengikat Sivalinga pada lengan seperti dalam candi Raja Pravarasena (428 Masihi), dan Sivalinga-Sivalinga yang ditemui di Cambodia (kini Kampuchia) dari 550 Masihi.

Kultus Pasupata adalah berasaskan kepada Saivāgama, beberapa Purana, dan beberapa Upanishad minor dari zaman selepas Veda.

Antara Āgama-Āgama yang dirujuk ialah Kamika, Ajita, Amsuman, Suprabheda, Svayambhuva, Raurava, Mrgendra, Pauskara, dan Vatula. Āgama-Āgama ini mungkin telah ditulis antara kurun pertama hingga kurun ke-14. Ianya lebih berpengaruh di India Selatan, terutamanya di Tamil Nadu. Terdapat percanggahan pendapat tentang sama ada beberapa Āgama telah dihasilkan pada asalnya dalam Bahasa Tamil dan kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Sanskrit, atau dihasilkan dalam bahasa Sanskrit terus.

Purana-Purana yang dirujuk ialah Vayu Purana, Kurma Purana, dan Siva Purana.

Sistem Pasupata hampir sama dengan sistem Dvaita Vedanta oleh Madhva (1197-1276 Masihi). Satu-satunya perbezaan yang wujud ialah Shiva telah menggantikan tempat Vishnu, dalam sistem ini.

Rukun-Rukun Utama

Topik-topik yang dibincangkan dalam sastera Pasupata dinamakan secara teknikal sebagai Pancārthas atau Lima Subjek Asas. Topik-topik asas ini ialah karana, karya, yoga, vidhi, dan duhkhanta.

KĀRANA

Kārana atau sebab purba adalah Shiva, yang dikenali sebagai 'Pati' (Tuan). Shiva juga dikenali sebagai Rudra, Sankara, Kala, Balavikarana, Aghora, Sarva, Sarva, Tatpurusa, Isana, Isvara, dan Brahma.

Shiva adalah anādi (tanpa permulaan atau asal-usul), avyaya (tidak boleh dihapuskan), dan punca ciptaan,pemeliharaan dan pemusnahan alam semesta. Shiva adalah menjangkaui dan meliputi alam semesta. Dia penuh kasih sayang. Simbol-Nya yang terbaik ialah Pranava atau Om.

Shiva atau Isvara adalah hanya punca efisien atau nimittakārana untuk ciptaan. Sebaliknya, dalam sistem Vedanta, Shiva adalah upādānakārana (punca material). Meskipun Roh Individu dan dunia wujud berasingan, kedua-duanya berada dalam kawalan Shiva. Shiva juga menyebabkan perubahan dalam dunia dan roh individu. Namun, sebagai 'prasadi' (yang mencurahkan rahmat), Shiva sentiasa penyayang. Itulah sebabnya, kita dapat mencapai kebebasan dengan bermeditasi ke atas-Nya.

KĀRYA

Subjek Asas kedua ialah Kārya. Kārya di sini bukan bermaksud sebagai suatu kesan tetapi sebagai asvatantra atau bergantung. Sebaliknya, kārana adalah sesuatu yang bebas atau svatantra. Dalam konteks ini, hanya Shiva adalah bebas atau kārana. Jagat (dunia) dan jiva (roh individu) adalah kārya kerana kedua-duanya bergantung pada Shiva.

Meskipun Shiva adalah kārana, atas dorongan-Nya, Jiva juga boleh menjadi kārana dalam proses ciptaan berikutnya. Begitu juga dengan Prakrti atau Pradhāna yang bertanggungjawab untuk evolusi berterusan dunia. Oleh itu, kedua-dua ini dinamakan sebagai 'kārya-kārana'.

Evolusi dunia daripada Prakrti adalah sama seperti dalam sistem falsafah Sankhya.

Seperkara perlu diperhatikan di sini. Isvara sebagai kārana asal tidak akan dicemari oleh proses evolusi alam semesta. Sebaliknya, Prakrti sebagai kārya-kārana boleh terjejas. Contoh-contoh berikut boleh menjelaskan konsep ini. Teratai mekar apabila terkena cahaya matahari. Ketulan besi bergerak berdekatan magnet. Dalam kedua-dua keadaan ini matahari dan magnet tidak terjejas tetapi teratai dan ketulan besi terjejas. Begitu juga, Isvara tidak terjejas dengan proses evolusi dunia melalui Prakrti dan Jiva.

Dalam kalangan kārya, Jivatman (roh individu) adalah yang paling penting. Jivatman dinamakan 'Pasu' kerana ia terikat dengan 'Pasa' (ikatan) dan melihat ('pasyati') dirinya sebagai kompleks badan-minda, melupakan bahawa dia adalah roh. Sebaliknya, Shiva ialah 'Pasupati (Tuan segala 'pasu').

'Pasu' atau Jiva adalah abadi, dan mempunyai kesaktian untuk melihat ('drksakti) dan untuk bertindak ('kriyasakti').

'Pasu' dibahagikan kepada dua kumpulan bergantung kepada tahap evolusi rohani masing-masing iaitu:

  • Sanjana (mereka yang terikat pada badan, pancaindera dan minda) dan
  • Niranjana (jiwa yang bebas).

'Pasa' atau ikatan yang mengikat 'pasu' dinamakan sebagai 'mala' atau kekotoran. Terdapat tiga 'mala': anavamala, mayiyamala dan karmamala.

  • Anavamala adalah kekotoran yang menyebabkan 'Pasu' terikat dengan badan dan mengenalpasti badan sebagai dirinya yang sebenar.
  • Mayiyamala adalah ikatan yang disebabkan oleh Maya (kuasa Isvara).
  • Karmamala adalah sekatan yang disebabkan oleh karma lama.

Dengan bantuan yoga, 'Pasu' dapat membersihkan dirinya daripada semua kekotoran ini dan mencapai keadaan duhkhanta (penghapusan segala duka dan penderitaan).

YOGA

Yoga diberikan maksud 'samyoga' (kesatuan) Atman ('Pasu') dan Isvara (Pasupati).

Ini merangkumi tindakan tersisih atau melepaskan diri daripada segala keselesaan dan nikmat duniawi dan melihat Isvara sebagai satu-satunya matlamat hidup. Yoga ini boleh dicapai dengan rahmat Isvara atau dengan berserah sepenuh pada-Nya.

Amalan Yama seperti ahimsa (ketidak-ganasan), brahmacharya (mengawal nafsu), satya (bercakap benar), asangraha (tidak mengumpul harta-benda), adalah sadhana-sadhana yang amat berguna untuk yoga. Begitu juga dengan Niyama iaitu akrodha (mengawal kemarahan), guruseva (khidmat pada guru), sauca (kebersihan), mitahara (pemakanan sederhana) dan jagarukata (sentiasa berhati-hati).

VIDHI

Ini adalah Pancartha keempat. Ia bermaksud aktiviti-aktiviti seperti bhasmasnana (meliputi badan dengan abu suci), upahara (secara sengaja melakukan sesuatu yang akan menyebabkan orang ramai menjauhi seseorang sadhaka), japa (mengulangi mantera Shiva), dan pradakshina (mengelilingi Shivalinga secara ritual).

DUHKHANTA

Ini ialah Pancartha terakhir. Ia bermaksud kesudahan segala duka dan penderitaan, sama seperti kebebasan atau Mukti. Ini dicapai dengan menarik minda daripada segala objek duniawi dan mengarahkannya pada Pasupati. Dengan ini, 'pasu' dapat berserah sepenuhnya pada Pasupati dan hidup berhampiran-Nya (samipa prapti). Dalam mukti ini, Jiva tidak akan 'hidup bersendirian' ('Kaivalya', seperti dalam sistem Sankhya) atau penyatuan sepenuhnya ('Aikya' seperti dalam Advaita Vedanta). 'Pasu' akan berada selama-lamanya bersama Pasupati.

Menurut karya-karya Pasupata, kuasa-kuasa ajaib akan diperolehi pada tahap duhkhanta. Namum, seorang Yogi tidak digalakkan untuk memberi perhatian kepada kuasa ajaib kerana ia akan menghalangnya daripada mencapai mukti.