Warisan Sang_Nila_Utama

Sang Nila Utama telah berkahwin dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri, yang juga merupakan ibu saudara Sang Nila Utama dari sebelah ibunya (adik-beradik Wan Sendari)[3]. Hasil perkahwinan dikurniakan seorang putera bernama Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386).

Selepas kemangkatan baginda Sang Nila Utama, 3 lagi Raja memerintah Singapura bermula dari anakdanya iaitu Paduka Sri Pekerma Wira Diraja (1372 – 1386), cucunya Paduka Seri Rana Wira Kerma (1386 - 1399) dan yang terakhir cicitnya Paduka Sri Maharaja Parameswara (1399 - 1401).

Pada tahun 1401, cicit baginda iaitu Paduka Sri Maharaja Parameswara diusir dari Singapura selepas Majapahit berjaya menawan Singapura. Baginda kemudiannya melarikan diri ke utara dan menubuhkan kerajaan Melaka pada tahun 1402.

Sang Nila Utama ialah anak kepada Sri Nila Pahlawan (Sang Sapurba) yang diceritakan dalam Sejarah Melayu sebagai nenek moyang legenda Raja-raja Melayu. Dari keturunan baginda, wujud dinasti-dinasti kerajaan di alam Melayu seperti Melaka, Johor dan Perak. Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin Muizuddin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (2014 - sekarang) ialah keturunan langsung dari Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I (1528 - 1549), iaitu salah seorang putera Sultan Mahmud Shah (1488–1528), Sultan Melaka terakhir.