Sinopsis Sara


Filem ini berkisar tentang masalah pembelian tanah di sebuah kampung di Tanjung Harapan. Manaf berasal dari kampung tersebut dan merupakan seorang lelaki yang ringkas tetapi berpendirian tegas. Manaf yang berpendidikan luar negara, pulang ke kampungnya setelah tamat pengajian. Tujuannya pulang ke kampung adalah kerana tidak mahu melihat orang-orang kampung 'disalahgunakan' oleh orang bandar. Manaf juga ada bakat mengukir dan sayangkan binatang. Dia kemudian membuka kolam memancing, mengusahakan chalet dan menjual ikan pekasam. Cerita ini seterusnya menemukan Manaf dengan Sara, seorang gadis lincah dan berpendidikan barat serta mempunyai ego tersendiri. Sara datang ke kampung tersebut untuk membeli tanah, maka bermulalah perkenalan Manaf dan Sara. Sara yang merasa tercabar dengan sikap degil Manaf yang enggan melepaskan tanah miliknya itu bersetuju mengahwini Manaf semata-mata inginkan tanah pusaka Manaf. Pergolakan timbul sebelum dan selepas berkahwin. Biarpun menjadi suami isteri, masing-masing melakukan hal sendiri. Dalam pergolakan itu berputik cinta di hati Sara.