Epilog Sarada_Devi

Sri Ramakrishna telah meninggalkan Sarada Devi untuk menegakkan semula keibuan sejagat yang ulung. Sifat keibuannya tidak mengenal baik buruk, dan dicurahkan dengan sama rata kepada orang mulia mahu pun orang yang hina. Kasih sayang itu mampu menawan hati 'anak-anak'nya dan membawa mereka ke jalan kebenaran dan kemuliaan. Hidup Sarada Devi menunjukkan bahawa sifat bersopan santun merupakan hiasan terbaik bagi seorang wanita sementara sifat keibuan pula merupakan ideal hidup yang tertinggi.

Sarada Devi, meskipun tidak berpendidikan, mempunyai pandangan yang mendalam mengenai masalah yang dihadapi oleh kaum wanita. Beliau sedar tentang kepentingan pendidikan dan kebebasan ekonomi bagi kaum wanita. Oleh itu, beliau menyokong usaha Saudari Nivedita (1867-1911) untuk memberikan pendidikan kepada wanita India.

Sarada Devi merupakan satu jambatan yang terbaik yang menghubungkan ideal-ideal wanita India purba dan moden. Sekiranya, wanita India moden dapat mengambil teladan daripada hidupnya, pasti usaha mereka untuk mencapai kebebasan yang sepenuhnya dapat tercapai.

Hidup Sarada Devi telah dan masih menjadi inspirasi kepada ramai wanita-wanita India dan juga bukan India, terutamanya di Amerika dan Eropah. Dengan menjadikan Sarada Devi sebagai pusat kehidupan mereka, wanita-wanita ini telah memulakan Sri Sarada Math, sebuah pertubuhan biarawati.