Sejarah Sekolah_Berasrama_Penuh_Integrasi_Sabak_Bernam

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam terletak kira-kira 27 kilometer dari pekan Sungai Besar dalam daerah Sabak Bernam. Kawasan sekolah ini seluas 40 ekar iaitu 32 ekar kawasan berpagar dan seluas lapan ekar tidak berpagar. Sekolah ini mula dibina pada bulan Julai tahun 2000 dan siap dibina pada bulan Julai 2002 dengan kos sebanyak RM 36 juta.

Sekolah ini mula beroperasi pada 8 Julai 2002 dengan pengambilan pelajar pertama iaitu pelajar tingkatan satu seramai 76 orang. Pada ketika itu jumlah gurunya seramai 15 orang. Puan Hajah Nahyah binti Atok adalah pengetua pertama sekolah ini. Encik Jaafar bin Rajuli sebagai Penolong Kanan, manakala Ustaz Ahmadi bin Abas menyandang jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Pada peringkat awal, sekolah ini diberi nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sabak Bernam. Oleh itu, pengambilan pelajar sulung sekolah ini dikendalikan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS / JAPIM). Pelajar-pelajar tersebut terdiri daripada anak-anak negeri Selangor. Kemudian, pengurusan sekolah ini diambil alih oleh Unit Sekolah Berasrama Penuh, Kementerian Pendidikan Malaysia. Selaras dengan perubahan pengurusan, sekolah ini bertukar nama kepada Sekolah Menengah Agama Persekutuan Sabak Bernam (SEMERBAK) dan kemudiannya bertukar kepada Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam (SBPI Sabak Bernam). Pengambilan pelajar seterusnya terbuka kepada negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perak dan Pahang.

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Sabak Bernam menawarkan dua aliran mata pelajaran. Aliran tersebut ialah aliran Sains Tulen Agama dan Sains Tulen. Manakala Sains Teknikal tidak ditawarkan bermula tahun 2016. Pengambilan pertama pelajar tingkatan empat pada tahun 2003 menawarkan dua aliran sahaja iaitu aliran Sains Agama (1 kelas) dan aliran Sains Tulen (2 kelas). Sehingga bulan Oktober 2003, sekolah ini mempunyai pelajar seramai 316 orang iaitu 115 orang pelajar tingkatan satu, 122 orang pelajar tingkatan dua dan 79 orang pelajar tingkatan empat. Latar belakang ibubapa, penjaga pelajar di sekolah ini terdiri dari pelbagai status ekonomi, sama ada bekerja sendiri, sektor swasta dan kakitangan awam. Kini Intesaber berkembang dengan pesat. Tenaga pengajarnya terdiri daripada 57 orang guru, 15 orang staf sokongan dan 544 orang pelajar.