Sejarah Sekolah_Kebangsaan_Sinar_Bahagia

Nama asal Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia ialah Sekolah Kampung Bahagia sempena nama asal Felda Taib Andak iaitu Kampung Bahagia. Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1961 atas desakan penduduk Kampung Bahagia dan disokong oleh pengurus dan Penghulu Kampung Melayu Kulai.

Bangunan sekolah pada ketika itu merupakan sebuah rumah panjang yang dibina bersebelahan rumah panjang peneroka asal yang merupakan tempat penginapan sementara mereka. Tapak bangunan ketika itu ialah di kawasan perniagaan Felda Taib Andak. Bilik darjah ketika itu hanya 3 buah dan jumlah murid ialah 30 orang sahaja. Ketika itu murid belajar sehingga Darjah 3. Guru Besar yang pertama ialah Haji Rahiman bin Mahadan dengan dibantu oleh 2 orang guru penolong.

Pertambahan penduduk menyebabkan sekolah tidak dapat menampung bilangan murid yang semakin ramai, maka pihak Felda telah bersetuju menyediakan satu kawasan untuk didirikan bangunan baru. Pada pertengahan tahun 1962, sekolah baru telah digunakan dengan bilangan murid seramai 216 orang. Sekolah baru ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Haji Hassan bin Haji Yunus, Menteri Besar Johor pada 31 Mac 1963. Pada masa yang sama, Sekolah Kampung Bahagia ditukarkan kepada Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia.

Pada peringkat awal, hanya terdapat sebuah bangunan dengan 7 buah bilik darjah dan sebuah daripadanya dijadikan pejabat. Guru Besar ketika itu, Encik Idros bin Paiman dengan dibantu oleh 9 orang guru. Pertambahan murid menyebabkan pihak sekolah menambah lagi sebuah blok baru secara gotong-royong dengan penduduk kampung. Walau bagaimanapun jumlah bilik darjah masih tidak mencukupi, maka waktu persekolahan dijalankan secara dua sesi (pagi dan petang).

Pada Ogos 2009, dua blok bangunan 4 tingkat mula dibina dan telah siap sepenuhnya pada Mei 2011 yang mengandungi 14 buah kelas, sebuah surau dan dewan terbuka.

Berkaitan