Sejarah Sekolah_Menengah_Jenis_Kebangsaan_Shing_Chung

Sekolah Shing Chung mula ditubuhkan dengan rasminya di No.55, Jalan Besar, Sg. Siput(U) pada Februari 1912 sebagai sebuah Sekolah Cina.Persendirian dengan murid seramai 50 orang.

Pada tahun berikutnya, sekolah ini telah dipindah ke sebuah rumah atap di Sungai Buloh yang terletak dipinggir pekan Sg.Siput(U) dengan muridnya seramai 100 orang yang ditempatkan di dalam 5 buah kelas.

Untuk menampung bilangan murid yang semakin bertambah, sekolah ini dipindah ke sebuah banglo di atas tapak seluas 5 ekar pada tahun 1920.  Pendidikan sehingga tahap menengah rendah ditawarkan dan bilangan murid pada masa itu melebihi 400 orang.  Pada tahun 1938, sebuah dewan dan satu blok bangunan yang mempunyai 12 buah bilik darjah telah dibina bagi menampung murid melebihi 700 orang. Kelas menengah atas dimulakan.

Selepas perang dunia kedua, bilangan murid meningkat melebihi 1000 orang.  Pada tahun 1957, Sekolah Shing Chung diasingkan kepada sekolah rendah dan sekolah menengah berikutan pelaksanaan Laporan Razak. Sekolah Rendah Shing Chung menjadi sekolah rendah bantuan penuh Kerajaan manakala Sekolah Menengah Shing Chung menjadai sekolah menengah bantuan separa kerajaan.

Pada tahun 1961, Sekolah Menengah Shing Chung mula melaksanakan kurikulum kebangsaan dan diberi status Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (Conforming School).  Sekolah disusun semula dengan murid seramai 400 orang dan 16 orang guru.  Sekolah Menengah Shing Chung merupakan Sekolah Menengah Cina yang terawal di Perak menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan.

SMJK Shing Chung dipindahkan ke lokasi sekarang iaitu di Batu 17  Jalan Besar Ipoh – Kuala Kangsar pada Ogos 1967. Kelas Tingkatan 6 aliran sains berjaya dibuka pada tahun 2001.  Kini, SMJK Shing Chung yang beroperasi dalam satu sesi mempunyai murid hampir 1900 dan guru seramai 120 orang.