Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Sri_Perak

Sekolah ini telah didirikan pada tahun 1962 di bawah Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak (Almarhum – 31hb. Januari 1984) Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Ibni Al Marhum Sultan Iskandar Shah pada 31hb. Oktober 1964 dengan nama Sekolah Lanjutan Kampung Parit Buntar. Sekolah ini terletak kira-kira 4 kilometer dari pusat bandar.

Pada tahun 1965 bilangan murid bertambah sehingga 204 orang termasuk 74 orang pelajar perempuan. Mereka ini dikenali dengan pelajar Aneka Jurusan. Pada tahun 1966 seramai 76 orang lagi pelajar menduduki tingkatan satu. Oleh itu pada tahun 1966 terdapat dua kumpulan aliran murid yang menuntut di sekolah ini iaitu Aliran Sekolah Lanjutan Kampung dan Aliran Aneka Jurusan.

Pada tahun 1966 seramai 100 orang pelajar Sekolah Lanjutan Kampung ini menduduki peperiksaan L.C.E dan hasilnya 45 orang daripadanya berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman, Pulau Pinang. Pada awal 1967 pelajar-pelajar teknik tersebut terpaksa mengadakan kelas peralihan di sekolah ini juga selama satu penggal sebelum berpindah ke Pulau Pinang. Di samping itu seramai 92 orang pelajar baru tingkatan satu mendaftar diri dan nama sekolah ini telah ditukar kepada Sekolah Menengah Rendah sehingga 1974 apabila kelas tingkatan 4 sastera bermula buat kali pertama.

Pada awal tahun 1975 pihak pentadbiran sekolah telah mencadangkan tiga nama untuk menggantikan nama Sekolah Menengah Rendah Parit Buntar. Tiga nama-nama tersebut ialah:

1. Sekolah Menengah Megat Terawis
2. Sekolah Menengah Darul Ridzuan
3. Sekolah Menengah Seri Perak

Keputusan dipersetujui dengan nama Sekolah Menengah Seri Perak, Parit Buntar, Perak. Nama ini amat sesuai kerana perkataan “Seri” bermaksud “Semarak” atau “Bercahaya” menepati maksud “bunga Semarak Api” iaitu pohon yang ditanam semasa perasmiannya dan “Perak” adalah nama negeri ini. Oleh kerana itu tidaklah diragui lagi bahawa nama “Sekolah Menengah Seri Perak, Parit Buntar, Perak” juga mempunyai identitinya yang tersendiri dan dibanggakan.

Berkaitan