Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Tengku_Ampuan_Intan

Sekolah ini dibuka pada tahun 1955 sebagai Sekolah Rendah Inggeris, dan diberi nama Tengku Ampuan Intan School (TAIS), mengambil sempena nama gelaran Tengku Intan Zaharah Binti Almarhum Tengku Setia Raja, yang dilantik sebagai Tengku Ampuan Besar Terengganu pada 6 Jun 1949, setelah berkahwin dengan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Sultan Terengganu) pada tahun 1944. Pada tahun 1961, TAIS dijadikan Sekolah Menengah Inggeris terulung di daerah ini. Kemudian pada tahun 1964, sebuah sekolah menengah kebangsaan didirikan bersebelahan TAIS. Untuk beberapa tahun, kedua-dua sekolah menengah ini bersaing antara satu sama lain dengan dua orang Guru Besar/Pengetua yang berlainan.

Pada tahun 1971, kedua-dua sekolah menengah ini digabungkan di bawah seorang pengetua, tetapi masih mempunyai dua aliran (Melayu dan Inggeris) dan dinamakan Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan (SMTAI). Pada tahun 1980, Sekolah Menengah Aliran Inggeris telah ditukar kepada aliran Melayu sepenuhnya dan keadaan ini kekal hingga sekarang dan dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan (SMKTAI) pada tahun 1997. Sekolah menengah ini pada mulanya menampung pelajar-pelajar dari 30 buah sekolah ‘feeder’ (Feeder School) dari semua mukim di daerah Hulu Terengganu.

Bagaimanapun setelah Sekolah Menengah Kebangsaan Landas dibuka pada tahun 1971, Sekolah Menengah Kebangsaan Ajil dan Sekolah Menengah Kebangsaan Matang pada tahun 1984 dan SMK Menerong pada tahun 1993, mengurangkan lagi sekolah-sekolah ‘feeder’ ini kepada 12 buah sekolah sahaja. Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Berang, Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan, Sekolah Kebangsaan TelagaSekolah Kebangsaan Pauh, Sekolah Kebangsaan Lerek, Sekolah Kebangsaan Dura, Sekolah Kebangsaan Pasir Nering, Sekolah Kebangsaan Dusun, Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh, Sekolah Kebangsaan Kemat, Sekolah Kebangsaan Padang Setar dan Sekolah Kebangsaan Langgar. Apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Berang dibuka pada tahun 2002 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jenagor dibuka pada tahun 2004 jumlah ‘Feeder School’ semakin berkurangan. Pada tahun 2005, hanya pelajar yang mendapat 5A dan 4A 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dari seluruh daerah Hulu Terengganu akan ditempatkan di SMKTAI. Pada tahun 2006 apabila Sekolah Menengah Kebangsaan Tersat dibuka, sekolah ini mula menjalani satu sesi persekolahan sahaja.