Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Tumpat

Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat atau dahulunya dikenali sebagai Sekolah Menengah Tumpat terletak di Kelaburan, Tumpat, Kelantan. Lokasinya bersebelahan dengan Hospital Daerah Tumpat.

Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat adalah nama baru bagi Government English School Tumpat (GEST). Sekolah ini diwujudkan pada tahun 1957, bagi menampung murid-murid Special Malay Class yang telah pun bermula sejak tahun 1954 lagi.Sebaik sahaja tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah sekolah aliran Inggeris didirikan di setiap daerah. Sekolah-sekolah inilah kemudiannya menjadi asas kepada tertubuhnya sekolah-sekolah menengah di Kelantan.

Kesedaran awal masyarakat terutama di kalangan pemimpin dan warga bukan Melayu telah mempercepatkan penubuhan sekolah ini. Desakan yang dibuat kepada kerajaan pada masa itu akhirnya dipersetujui dan akhirnya lahirlah sebuah sekolah.Berdasarkan sumber-sumber pemimpin setempat dan kandungan majalah tahunan Laksamana, penubuhan GEST adalah atas inisiatif En Mohd Zin Awang bersama-sama pemimpin-pemimpin etnik di sekitar Tumpat. Boleh dikatakan kaum Cina, India, Siam selain majoriti Melayu adalah murid yang belajar di sini pada peringkat awal.

Pada peringkat awal penubuhan SMK Tumpat, murid-muridnya terdiri daripada peringkat rendah dan menengah yang ditempatkan di sebuah bangunan sahaja. Pada peringkat awal ini, guru-guru besarnya iaitu En Mohd Zin Awang (1954), En Sandanassamy (1955),En Benedict Fair (1957), En Megat Hussin (1958),dan En Yeo Gim Hoe (1959-1960) terpaksa mentadbir sesi persekolahan pagi bagi sekolah menengah dan sesi persekolahan petang bagi sekolah rendah.

Sistem sekolah gabungan ini berakhir pada 1 Januari 1961 apabila En K. Ragavan dilantik menjadi guru besar sekolah menengah sesi pagi dan En Khow Mang Hue selaku guru besar sekolah rendah pada sesi petang. Dengan pelantikan ini, En K. Ragavan adalah guru besar pertama dan pengasas generasi kedua Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat.