Pengenalan Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Wakaf_Bharu

Pengetua pertama ialah Tuan Haji Husin bin Salleh yang pada ketika itu sebagai penyelia petang Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin sebelum beliau dinaikkan pangkat sebagai pengetua SMKWB dan jumlah guru SMKWB di awal penubuhannya seramai 21 orang. Beliau telah memilih semua setiausaha unit Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyiddin dan ini menjadi satu pemangkin besar kepada perubahan dan peningkatan SMKWB dalam percaturan akademik di daerah Pasir Mas / Tumpat hingga ke hari ini.

Sesi persekolahannya pada mulanya hanya satu sesi dan dibuka kepada pelajar tingkatan 1 dan 2 sahaja. Pada tahun 1982, pelajar tingkatan 1 diambil terus dari Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu, Sekolah Rendah Kebangsaan Wakaf Bharu (kini Sekolah Kebangsaan Seri Wakaf Bharu), Sekolah Kebangsaan Delima, Sekolah Kebangsaan Kubang Batang, Sekolah Kebangsaan Chenderong Batu, Sekolah Kebangsaan Kebakat, dan Sekolah Kebangsaan Morak. Pada tahun ini juga kali pertama pelajarnya mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP).

Tingkatan 4 di sekolah ini mula diadakan pada tahun 1983 iaitu terdiri dari 1 kelas perdagangan dan 3 buah kelas sastera. Pada tahun ini juga SMKWB mula mengadakan dua sesi persekolahan iaitu di sesi pagi bagi pelajar tingkatan 3 dan 4 manakala sesi petang untuk tingkatan 1 dan 2. Pada tahun 1984, SMKWB mula mengadakan kelas tingkatan 5 dan kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 140 orang.

Memandangkan pertambahan pesat bilangan pelajar maka pada tahun 1983 dan 1984 sekolah ini mendapat peruntukan tiga bangunan kayu tambahan (pasang siap) di bawah Rancangan projek Segera. Bangunan ini dikenali dengan nama bangunan kilat dengan mempunyai sembilan belas buah bilik darjah. Bangunan itu kini telah diberi nama baru iaitu blok Al Kindi II dan blok Ibnu Rusyd. Pada tahun 1988, bangunan bilik darjah ditambah dan seterusnya tahun 1990, bangunan satu tingkat dibina yang mampu menempatkan 11 buah bilik darjah. Bangunan musala sekolah turut diperbesarkan pada tahun 1994 bagi menampung peningkatan pertambahan bilangan pelajar.

Bermula pada tahun 1998 SMKWB terpaksa mengadakan dua sesi persekolahan di mana pelajar tingkatan 1 dan 2 belajar pada sesi petang dan pelajar tingkatan 3,4 dan 5 pada sesi pagi. Pada tahun ini juga SMKWB telah dinaikkan taraf kepada sekolah gred A. Tahun 2000 pula, sebuah bangunan dua tingkat telah dibina bagi menempatkan makmal sains dan bilik darjah.

Pembukaan secara rasmi telah dilancarkan pada 1 Oktober 2002 bersamaan 24 Rejab 1423 Hijrah oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu iaitu Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin. Ketika ini SMKWB mempunyai 10 buah blok.

Sejajar dengan perkembangan ini, perancangan demi perancangan di rencana untuk meningkatkan imej SMKWB di persada dunia pendidikan. Perbincangan dan permuafakatan antara pentadbiran, guru dan ibu bapa menjadi keutamaan sekolah dalam menyusun strategi penambahbaikan akademik, kokurikulum, prasarana dan persekitaran sekolah.

Program akademik menjadi teras penekanan sekolah dan hasilnya cukup memberangsangkan di mana keputusan Peperiksaan SPM dan PMR meningkat dari segi peratus lulus mahupun kualiti tahun demi tahun. SMKWB juga telah dianugerahkan pelbagai gelaran seperti Johan Pertandingan 3K dan yang terbaru pada tahun 2002 SMKWB telah di anugerahkan Naib Johan Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar dan pada tahun 2005 SMKWB telah mengungguli dalam Pengurusan SPBT dengan mendapat Naib Johan Pertandingan Pengurusan SPBT Peringkat Kebangsaan.

Pada tahun 2005, SMKWB telah menyediakan kelas untuk pelajar tingkatan 6 dan melahirkan pelajar sulung yang menduduki peperiksaan STPM. Dari segi infrastruktur sekolah ini mempunyai 58 buah bilik darjah yang akan digunakan untuk P & P dengan 10 kelas Tingkatan 4 akan belajar di sebelah petang dan di sokongan dengan sebuah bangunan makmal sains dan sebuah makmal komputer yang telah siap sepenuhnya.

Tahun 2008, sekolah ini telah menerima bilangan pelajar adalah melebihi 2200 orang dengan 153 orang guru.