Sejarah Sekolah_Menengah_Kebangsaan_Wangsa_Melawati

Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati merupakan sekolah harian biasa yang dibuka pada 4 Disember 1995. Sebelum sekolah ini dibina, kawasan tapak sekolah ini merupakan kawasan kebun getah. Sekolah ini terletak berdekatan dengan kawasan perumahan Wangsa Melawati sebagai pelengkap keperluan pendidikan dan kehendak masyarakat di sesebuah kawasan perumahan.

Seawal penubuhan sekolah ini, ia dipelopori oleh 14 orang guru dan 3 orang staf sokongan serta 220 orang pelajar tingkatan satu. Sekolah ini diterajui oleh Tuan Pengetua, Encik Ashraf Manzoor bin Hussain, Penolong Kanan 1, Puan Noor Sinaran Cahaya binti Dolkeffle dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid(PKHEM), Encik Abdul Rahman bin Abdul Rahim.

Pada tahun 2001, sekolah ini telah dilengkapi dengan sebuah dewan besar yang tertutup dan diberi nama Dewan Wangsa Bestari. Dewan ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Dato' Mahadzir bin Mohamad Khir pada 14 Julai 2001. Kemudahan prasarana seperti ini telah memberi suasana yang lebih kondusif kepada para pelajar bagi menjalankan majlis-majlis formal dan juga aktiviti-aktiviti kokurikulum yang lain.

Kemudahan prasarana di sekolah ini dipertingkatkan satu demi satu, yang mana pada mulanya beberapa bilik telah diubah suai dan bangunan tambahan dibina untuk memenuhi keperluan sekolah. Antaranya ialah Bengkel Landskap, Bengkel Perabot, Dewan Kuliah dan Bilik Pendidikan Moral, Bilik Sastera Ikhtisas, Bilik Muzik, English Centre dan Pusat Asas Kendiri.

Pada tahun 2003, Bilik Ketua Bidang telah diwujudkan apabila sekolah ini dinaiktarafkan daripada sekolah gred B kepada sekolah gred A.

Pada tahun 2004, sekolah ini telah menerima sebuah bangunan baru iaitu Bilik Komputer, bersesuaian dengan perubahan era globalisasi dunia, yang lebih memfokuskan eksploitasi teknologi maklumat.

Mulai 1 Januari 2016, SMK Wangsa Melawati telah beroperasi sebagai sekolah satu sesi.

Pengasas Sekolah

Pengasas sekolah SMK Wangsa Melawati ialah Encik Mohd. Ashraf bin Manzoor Hussain. Beliau merupakan pengetua SMK Wangsa Melawati yang pertama. Beliau dilahirkan pada 25 September 1947 di Lahore, Pakistan. Bapanya pernah berkhidmat dengan tentera British di Tanah Melayu. Encik Mohd. Ashraf dan bapanya menetap di Tanah Melayu dan menjadi rakyat negara Malaysia.

Beliau menuntut di sekolah Inggeris pada peringkat rendah dan menengah sebelum melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya. Beliau pernah berkhidmat di Maktab Tentera diRaja Sungai Besi, SMK Datok Lokman, dan SMK Maxwell di mana kesemua sekolah ini terletak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Sebelum beliau dilantik menjadi pengetua di SMK Wangsa Melawati, beliau merupakan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di SMK Maxwell dan Penolong Kanan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datok Lokman.

Encik Mohd. Ashraf dilantik menjadi pengetua SMK Wangsa Melawati pada 1 Oktober 1995. Sebagai pengetua sekolah yang pertama, beliau telah bertungkus-lumus agar proses pembukaan sekolah baru dapat berjalan dengan lancar sebagaimana yang telah diarahkan oleh Kementerian Pelajaran pada awal Disember 1995.