Sejarah Sekolah_Menengah_Sains_Tengku_Abdullah_Raub

SEMESTA dibangunkan dalam kawasan ladang getah seluas 16 hektar. Kompleks sekolah mula dibina dalam bulan Julai 1980 dan siap pada 1982. Kumpulan perintis sekolah yang terletak di kilometer 6, Jalan Lipis terdiri daripada 35 orang guru, 5 orang pekerja dan 280 orang pelajar yang mendaftar awal tahun 1983.

Pengetua pertamanya ialah En. Abdul Rahim bin Mohammad yang berkhidmat sehingga hujung tahun 1986. Sehingga kini SEMESTA telah dipimpin oleh sembilan orang pengetua yang berkaliber.

Dari segi pembangunan fizikal, SEMESTA telah menempuh satu dekad yang dipenuhi pelbagai perubahan. Dahulunya kawasan lapang tidak berpokok, kini dihiasi beraneka tanaman penyeri bumi. Dengan penambahan kemudahan asas seperti gimnasium, laluan berbumbung, pondok rehat, astaka dan surau.

Sejarah penubuhan dan perkembangan SEMESTA wajar dikenang. Selain kecemerlangan dalam peperiksaan PMR dan SPM, SEMESTA telah meraih beberapa gelaran yang membanggakan.

SEMESTA terus mencipta kejayaan termasuk dari segi membina potensi pelajar dalam aspek akademik dan kokurikulum. Pencapaian 100% dalam peperiksaan awam terus dipertahankan dari tahun ke tahun, malah banyak usaha sedang dan akan dijalankan untuk meningkatkan kualiti peperiksaan. Segala cabaran ini akan dipikul bersama oleh seluruh warga SEMESTA.