Sel_T
Sel_T

Sel_T

Sel T merupakan salah satu limfosit yang mengalami kematangan di timus dan mempunyai peranan utama dalam sistem imun. Sel-sel ini berasal dari sumsum tulang[1] dan berkembang dan membeza menjadi beberapa jenis sel T khusus setelah berkembang di timus. Pembezaan sel T tetap berlaku meskipun telah keluar dari timus. Jenis-jenis sel T termasuklah sel T pembunuh (CD8+), sel T penolong (CD4+), sel T ingatan dan sel T penindas. Sel-sel ini memberi peranan penting dalam mengawal tindak balas imun dengan pelbagai cara. Sel T pembunuh ialah sel sitotoksin yang dapat membunuh sel-sel yang dijangkiti virus serta barah. Sel T penolong pula mengenal pasti cara tindak balas imun terhadap suatu ancaman. Sel T penindas pula membantu mengenal pasti sel badan diri dan sel asing untuk mengelakkan tindak balas autoimun, di mana sistem imun menyerang sel badan sendiri. Sel T ingatan berfungsi mengingati jangkitan yang pernah berlaku untuk memastikan tindak balas yang lebih pantas dalam jangkitan akan datang dan peranan ini dimanfaatkan dalam pemvaksinan.[2]