Masyarakat Selising

Rata-rata masyarakat Selising adalah mesra dan saling hormat-menghormati serta saling tolong menolong antara satu sama lain. Mungkin kesan dari sejarah pendidikan awal suatu ketika dahulu yang telah dipimpin oleh 3 orang ulama yang benar-benar cintakan keamanan dan keharmonian.

Peristiwa 13 Mei 1969 langsung tidak memberi sebarang kesan atau menjejaskan hubungan kaum di Selising atau mana mana bahagian keseluruhan negeri Kelantan. Ini menunjukkan keeratan antara kaum dan kematangan orang tempatan dari segi perhubungan ras.

Penduduk kampung Melayu di sini lebih suka tinggal di rumah-rumah mereka di kampung. Tetapi hasil kebakaran besar pada tahun 195-0an tersebut, satu bentuk pekan yang lebih teratur mula terbentuk dengan terbinanya rumah kedai yang menjadi tapak asas pekan Selising dewasa ini.

Satu pasar yang dianggap besar pada masa itu dibina ditengah-tengah dan ia dipanggil "merket" (iaitu market dalam Bahasa Inggeris). "Merket" inilah yang menjadi pusat komersial utama di Selising di mana gerai-gerai nasi berlauk, daging, ikan, ayam , sayur dan buah-buahan memenuhi "merket" ini.

Ruang-ruang kosong di tepi Merket Selising ini juga menjadi tumpuan penjual-penjual ubat, saudagar keturunan Pakistan yang menjual kain dan juga penjaja yang menjual selipar dan kasut getah dalam tahun 1960-1970-an. Wakil Pos Selising masa itu lebih suka menggunakan nama Market Square untuk merujuk posisi rumah-rumah kedai yang mengelilingi pasar tersebut.

Hasil daripada interaksi antara kaum Cina dengan masyarakat Melayu tempatan yang erat, penduduk Cina di kampung ini juga mempunyai nama gelaran Melayu yang unik. Antaranya, taukeh panggung dipanggil "Kiew" atau "Q" (nama sebenar Koh Boon Chiew), beberapa taukeh getah yang dipanggil "Pak Wee"( nama sebenar Lua Eng Nui), "Taukeh Cabang " kerana dia mempunyai 6 jari dan satunya bercabang (Nama sebenarnya Lua Kho Phai-bapa kepada Dr Lua Hock Bue , Klinik Lua di Kota Bharu), Taukeh Kerani (nama sebenar Lua Boon Khe) iaitu kedai getah disebelah panggung Kiew. Namun, kebanyakan mereka sudah tiada lagi.

Begitu juga dengan penduduk-penduduk Cina lain iaitu Taukeh Tee atau "T" kedai basikal, Taukeh Naga ( bapa kepada Tan Poh Boo dan Cikgu Besar Ehna) kerana tuannya mempunyai tatu bentuk naga dibahunya , Pak Ya (nama sebenar Lua Kiat Siaw, bapa kepada 3 peguam iaitu Lua Kok Hiyong dan Lua Kok Tin dari Tetuan Lua & Mansor, Kota Bharu dan Lua Ai Siew dari Tetuan Soo Thien Ming & Nasrah Kuala Lumpur), Tukang ( taukeh kedai emas ia itu bapa kepada En Lee Lai Fatt, atau Ah Pat Tongek), Ubi (tukang gigi, iaitu bapa kepada seorang guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Jawa, Cikgu Lee Yong Hwa), Siput (kedai runcit), Pulut (kedai gambar), Bujang kedai kopi (nama sebenar Lee Tong Yang), Yacob (anak Taukeh Tee, kedai basikal), Yu , taukeh basikal dan ramai lagi. Individu-individu lain yang masih tinggal di sana ialah Kojin (*lua Kok Jin), Siput dan Epoi (Tukang mas). Mandor Cina yang menjaga kebun getah di Bukit Bidan (sekarang ini sebahagian telah di ambil oleh kerajaan untuk dibina sekolah ), pada masa itu dipanggil Tok Mandor Sahak (Ishak) dan adiknya dipanggil Cik Su . Jalan ke kebun tersebut ialah Jalan Tok Mandor Ishak yang diberi sempena namanya. Namun, kebanyakan mereka sudahpun meninggal dunia, dan dewasa ini, hanya lebih kurang 12 keluarga Cina yang masih menetap di pekan ini.

Kaum Muslim yang terdiri dari keturunan Pakistan pula yang bertambah ramai. Mereka juga mempunyai kedai-kedai runcit. Tetapi ramai daripada ahli keluarga mereka ini juga sudah berhijrah dan menetap ditempat lain.

Pada zaman 1950-an hingga awal 1970-an tiada diantara orang Melayu yang membuka kedai runcit. Mereka lebih tertumpu kepada kedai Merpati (nama kedai) dan kedai makanan seperti menjual nasi berlauk, roti canai dan masakan. Pada tahun 1960, terdapat satu kedai merpati kepunyaan Haji Mamat Toso di tepi pasar yang menjadi tumpuan orang kampung masa itu. Harga secawan teh pada waktu it hanyalah 10 sen masa itu manakala harga gula ialah 30 sen sekati(unit ukuran yang digunakan orang Melayu dahulu yang membawa nilai sebanyak 300gram).

Kemudahan gunting rambut juga terdapat di kampung ini. Antara tukang gunting di kampung ini pada zaman 1960-an dan awal 1970-an ialah arwah Ali Kukang. Ali Kukang ini menjadi tersohor selepas beliau bertumbuk dengan seorang bernama Haji Manaf (arwah) pada tahun awal 1970-an. Ali Kukang mengejar Haji Manaf dengan niat menikamnya dari pasar Selising hingga ke padang Seising pada masa itu tetapi pertumpahan darah tidak berlaku. Peristiwa ini menjadi berita sensasi penduduk kampung ini pada masa itu.

Terdapat juga seorang tukang jahit Melayu yang bernama Pak Harun mempunyai kedai jahitnya sendiri di pekan ini. Tetapi apabila masuknya pertengahan tahun 1970-an, Jabatan MARA telah mendirikan banyak rumah kedai dan kaum Melayu mulai aktif berniaga. Kini, majoriti kedai perniagaan dan lain-lain kedai di Pekan Selisisng yang beroperasi dimonopoli oleh kaum Melayu yang berjaya.