Semenanjung_Malaysia
Semenanjung_Malaysia

Semenanjung_Malaysia

Semenanjung Malaysia, Malaysia Barat atau dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan 11 buah negeri (ketika itu) yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Semenanjung Malaysia kini, terdiri daripada 11 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan. Negeri-negeri tersebut ialah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Keluasan keseluruhan Semenanjung Malaysia adalah 131,598 kilometer persegi.Semenanjung Malaysia bersempadanan dengan Thailand di bahagian utara dan Selat Johor di bahagian selatan. Manakala di sebelah baratnya,yang merentasi Selat Melaka, ialah pulau Sumatera, Indonesia. Malaysia Timur terletak di sebelah timur Semenanjung Malaysia merentasi Laut China Selatan.Kesemua negeri di Semenanjung Malaysia diketuai oleh sultan atau raja kecuali Wilayah Persekutuan, Melaka, dan Pulau Pinang. Secara geografi, Semenanjung Malaysia terbahagi kepada empat zon iaitu Utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak), Tengah (Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya), Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang). Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung diikuti Perak, Johor kemudian Kelantan. Negeri-negeri pantai timur berhadapan dengan Laut China Selatan manakala negeri-negeri pantai barat berhadapan dengan Selat Melaka. Kelantan bersempadan dengan wilayah Narathiwat di Thailand manakala Perlis, Kedah dan Perak juga bersempadan dengan Thailand di sebelah utara dengan wilayah-wilayah Satun, Yala dan Songkhla.