Pertempuran Serangan_Malam_di_Târgoviște

Pada awalnya, Vlad telah berjuang secara habis-habisan untuk menghalang tentera Uthmaniyyah daripada tiba di kota Vidin. Tentera pemanahnya telah berjaya membunuh ramai tentera musuh. Beliau kemudiannya terpaksa berundur dengan menggunakan taktik bumi hangus. Tentera Uthmaniyah seterusnya berkubu dan berkhemah berhampiran ibu kota Wallachia, Târgoviște. Vlad telah menyelinap masuk ke dalam kem Uthmaniyah untuk mengenal pasti khemah Sultan Muhammad al-Fatih.

Pada larut malam, sebahagian tentera Vlad telah menyerang hendap kem Uthmaniyah dari arah yang lain untuk mengalihkan perhatian tentera Uthmaniyah di situ. Vlad pula memimpin saki baki tenteranya untuk melakukan serangan kedua dari arah berbeza berbanding daripada serangan pertama. Setelah berjaya membunuh kumpulan kecil tentera Uthmaniyah yang bertahan, Vlad mengambil peluang untuk membunuh sultan tetapi ia berjaya dihalang dan percubaannya telah dipatahkan oleh janissari.

Pasukan Vlad hanya kehilangan 5,000 nyawa manakala tentera Uthmaniyah pula telah menanggung angka korban yang ramai kira-kira 20,000 orang. Konflik antara Uthmaniyah dengan Vlad terus berlarutan. Kota Brăila menerima tempiasnya apabila ia telah dibakar oleh Uthmaniyah.

Vlad telah meminta bantuan daripada anak kepada John Hunyadi, Matthias yang baru ditabalkan sebagai Raja Hungary namun malangnya beliau telah dipenjarakan. Sultan Muhammad al-Fatih gagal mengambil peluang ini untuk menyerang Wallachia sebaliknya beliau telah bertumpu ke Bosnia. Hal ini demikian kerana penguasa Bosnia iaitu Stephen II mengambil keputusan untuk berhenti membayar cukai kepada Uthmaniyah. Pada tahun 1463, Bosnia telah ditakluk oleh Uthmaniyah sekali gus ia telah meruntuhkan kedaulatan kerajaan Bosnia.