Sinopsis Si_Capik

Musim 1 (2009)

Reza, seorang pemuda digelar sebagai Si Capik, kerana ketidaksempurnaan sifatnya yang mengalami kecacatan sebelah kakinya. Namun kecacatan sebelah kaki tidak menghalang Reza untuk menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar kolej yang cemerlang dalam akademik.

Sayu melihat kecekalan ayahnya, Malik yang kurang sihat mencari rezeki menguatkan semangat Reza untuk berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasibnya sekeluarga. Dalam pada itu Reza bernasib baik kerana memiliki dua orang teman rapat, Farish dan Mira yang banyak membantunya malah cukup memahami keadaan dirinya.

Semangat cekal Reza menghadapi penghinaan masyarakat terutama pelajar-pelajar di kolejnya mendapat sokongan penuh Farish dan Mira yang tidak jemu-jemu untuk membelanya. Mira amat bersimpati dan cukup prihatin dalam permasalahan yang dihadapi Reza.

Hari demi hari kesihatan Malik semakin terganggu apatahlagi dirinya disahkan doktor menghidap penyakit jantung. Tuan Hazim majikannya menyarankan supaya Malik menjalani pemeriksaan doktor pakar dan kosnya ditanggung oleh pihak syarikat.

Zahid pula menghabiskan masanya setiap hari dengan berfoya-foya tanpa menghiraukan nasihat kedua ibu bapanya. Zahid tidak mengendahkan teguran bapanya, Tuan Hazim yang melarangnya berpoya-poya di kelab malam dan pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. Sementara itu, Reza gembira apabila menerima panggilan telefon dari datuk dan neneknya di kampung yang amat merinduinya.

Sherin teman sekuliah mereka mengajak Mira, Farish dan Reza untuk mengadakan ‘study group’ di rumahnya. Namun Reza keberatan untuk menyertainya kerana merasakan dirinya tidak layak untuk belajar bersama anak majikan bapanya.

Musim 2 (2010)

Reza dan Sherin telah melangsungkan perkahwinan mereka. Mira merajuk dan membawa dirinya ke kampung setelah mendapat tahu Reza telah berkahwin dengan Sherin.

Zahid menjalin hubungan dengan teman wanitanya, Liza hingga menyebabkan Liza mengandung. Setelah putus cinta dengan Liza, Zahid berpacaran dengan Nurul.

Tindakan Zahid mengupah dua lelaki untuk membunuh bekas teman wanitanya membawa padah apabila beliau mendapat mimpi buruk setiap malam dan takut dengan jelmaan Liza. Iskandar, abang kepada Liza menuntut keadilan atas ‘kehilangan’ misteri adiknya dan membuat laporan polis.

Rumahtangga Reza dan Sherin mula retak apabila bekas teman lelakinya, Razali datang mengganggunya, malah turut mengatakan Reza tidak layak menjadi suami Sherin.

Musim 3 (2011)

Kehidupan Reza mula berubah setelah dia memegang tampuk kepimpinan dalam menerajui syarikat Jaya Holdings setelah bapa mertuanya bersara. Reza telah mengalami satu transformasi, dia mulai bersikap ego dan tidak mudah mengaku kalah. Kesabarannya terhadap Zahid telah bertukar menjadi dendam yang tiada penghalangnya.

Tindakan Zahid melanggar Nurul telah menyebabkan dia menanggung akibat di atas perbuatan kejamnya, dia dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun.

Dalam kesibukan Reza mengendalikan syarikat, dia terpaksa menghadapi tekanan besar. Akibat perbuatan tidak bertanggungjawab Zahid dia telah diburu oleh ‘Along’ yang menuntut hutang berjumlah RM500,000.00 yang ditinggalkan Zahid sebelum dia dipenjarakan.

Kekecohan berlaku apabila ‘Along’ sering mengganggu Reza di pejabat dan di rumah. Namun begitu dia enggan bersetuju dengan perjanjian yang telah ditandatangani Zahid dengan ‘Along’ untuk melangsaikan hutang.

Perasaan benci dan dendam Reza terhadap Zahid kian membara ekoran bebanan hutang yang terpaksa ditanggungnya. Sudah hilang sifat ‘lembut hati’ dalam diri Reza yang sebelum ini sering mengalah dengan Zahid.

Dalam serba kekalutan, Mira yang telah diceraikan oleh Farish menjalani kehidupan dengan penuh kesedihan setelah perkahwinannya berakhir di pertengahan jalan.

Akan tetapi yang lebih parah lagi apabila Farish mula menyesali tindakan terburu-burunya menceraikan Mira. Dia mengalami kekecewaan dan menyedari kesilapannya. Kerinduannya terhadap Mira merupakan satu penyeksaan dalam dirinya. Sebagai sahabat sejati, Reza amat bersimpati dengan penderitaan yang ditanggung Farish, dia sanggup menghulurkan bantuan membiayai kos rawatan perubatan kaki Farish hingga pulih.

Sementara itu, sepanjang ketiadaan Zahid yang merengkok dalam penjara, Liza dan anaknya, Syamil telah berpindah ke banglo dan tinggal bersama dengan ibu bapa mertuanya.