Sifat Siang_(astronomi)

Lebih kurang separuh daripada Bumi diterangi oleh Matahari. Kawasan yang diterangi secara langsung ialah hampir setengah planet; akan tetapi, oleh sebab kesan atmosfera dan kesan-kesan lain yang memanjangkan kesan cahaya tidak langsung, kawasan Bumi yang disinari cahaya secara langsung ataupun tidak langsung sebenarnya lebih sedikit daripada setengah planet.

Sfera Bumi yang mengalami "siang" pada bila-bila masa sentiasa berubah seiring dengan putaran planet pada paksinya. Paksi putaran Bumi tidak persis garis serenjang dengan satah orbitnya mengelilingi Matahari (yang selari dengan arah cahaya matahari), jadi panjang tempoh siang berubah dari satu tempat ke tempat yang lain di planet ini. Tambahan, oleh sebab paksi putaran Bumi itu tetap berbanding bintang-bintang, ia bergerak relatif Matahari semasa planet Bumi mengelilingi bintang itu (Matahari). Keadaan ini menimbulkan variasi panjang waktu siang pada musim di kebanyakan tempat di permukaan Bumi.

Tempoh siang dari segi pemerhati di permukaan Bumi ditakrifkan secara kasar sebagai tempoh antara waktu terbit matahari apabila putaran Bumi ke timur mula-mula menyebabkan kemunculan cakera Matahari di atas ufuk hinggalah ke waktu terbenam matahari, apabila putaran Bumi yang berterusan menyebabkan cakera Matahari jatuh ke bawah ufuk di barat. Oleh sebab Matahari kelihatan seolah cakera bercahaya dan tidak sebagai titik cahaya apabila dilihat dari Bumi, kedua-dua waktu matahari terbit dan terbenam tidak berlaku dengan serta-merta dan definisi tepat kedua-dua kejadian itu boleh berubah mengikut konteksnya. Lagi, atmosfera Bumi membaurkan cahaya dari Matahari dan memanjangkan tempoh matahari terbit dan terbenam. Buat seketika waktu selepas matahari terbenam dan sebelum matahari terbit, cahaya tak langsung dari Matahari menerangi langit di Bumi; waktu ini lazimnya disebut waktu senjakala. Beberapa golongan ahli astonomi tidak menerima waktu siang itu betul-betul sudah berakhir sehinggalah cakera Matahari itu betul-betul di bawah ufuk Bumi ekoran cahaya yang tidak langsung ini.