Filem Siri_Filem_Kampung_Pisang

Zombie Kampung Pisang (2007)

Rencana utama: Zombie Kampung Pisang

Filem pertama yang memperkenalkan kejadian seram di Kampung Pisang ketika ketenteraman dan kedamaian Kampung Pisang tiba-tiba bertukar menjadi kecoh dan huru-hara pada suatu malam apabila penduduk kampung seorang demi seorang tumbang dan berubah menjadi zombi yang ganas dan mengancam penduduk kampung yang lain. Tiga orang pemuda kampung, Husin, Deris dan Mat Karan, perlu mencari jalan untuk mengembalikan ketenteraman kampung dan mencari punca kekalutan itu.[1]

Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)

Husin yang telah 2 tahun bekerja di Singapura mengambil keputusan balik ke kampung halamannya, Kampung Pisang. Apabila sampai ke rumahnya, Husin hairan melihat perangai pelik jiran sebelah rumahnya, Kak Limah yang langsung tidak bercakap dan rambut yang mengerbang semacam. Dia juga mengalami kejadian menakutkan ketika mahu tidur. Husin bergegas ke warung Pak Jabit, lalu menceritakan kepada orang-orang kampung bahawa barangkali Kak Limah sudah menjadi hantu.[2]

Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013)

Beberapa tahun selepas kejadian filem pertama, Husin telah bangkrap akibat ditipu skim cepat kaya telah kembali semula ke Kampung Pisang. Di Kampung Pisang, Husin berjumpa semula dengan geng-geng yang lamanya dan juga Mon, wanita yang mula-mula mengisi taman hatinya semasa Kampung Pisang di landa Zombi dan penyebab kepadanya hendak berjaya walaupun tidak mempunyai SPM. Namun beberapa hari selepas itu Kampung Pisang telah dilanda sesuatu perkara yang aneh. Nampaknya sejarah misteri seratus tahun dulu berulang kembali. Kejadian kehilangan lelaki-lelaki teruna di Kampung Pisang kembali menghantui. Dalam kekecohan itu, Kak Limah yang sudah pulih sepenuhnya sibuk merancang rombongan ke Singapura dan menawarkan Husin menjadi pembantunya. Namun begitu, masalah menjadi semakin rumit apabila Husin sendiri telah didapati hilang dirumah oleh Usop dan kawan-kawannya. Kesan yang tinggal hanyalah bekas bungkusan Maggi dari Singapura.[3]

Zombie Kilang Biskut (2014)

Rencana utama: Zombie Kilang Biskut

Zombi Kilang Biskut mengisahkan Husin yang kembali ke Kampung Pisang dan bekerja di sebuah kilang biskut di Taiping selepas diisytiharkan muflis akibat ditipu Skim Cepat Kaya di Singapura. Di kilang berkenaan, Husin bertemu semula dengan rakan sekampungnya iaitu Usop, Deris dan Mat Karan. Mereka kemudian terbabit dalam menyelongkar misteri kemunculan zombi yang mengganas di kawasan kilang terbabit. Keadaan menjadi tegang apabila mereka terperangkap dalam kilang itu apabila polis mengisytiharkan darurat di seluruh Taiping. Dalam masa yang sama seorang demi seorang pekerja kilang itu hilang dan ada yang dijumpai mati dalam keadaan mengerikan. Apabila disiasat, Husin mendapati semua kejadian itu berpunca daripada serangan zombi yang berkeliaran di kawasan stor kilang berkenaan.[4]

Hantu Kak Limah 3 (2018)

Rencana utama: Hantu Kak Limah 3

Husin pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia kemudian bekerja dengan sahabat baiknya Khuda, Wani dan Yeh Sekupang di kilang arang. Sementara itu, Kak Limah baru sahaja berkahwin dengan sahabat Husin iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.[5]