Ringkasan Star_Wars:_The_Force_Awakens

Lebih kurang 30 tahun selepas kemusnahan Death Star yang kedua, Luke Skywalker, yang merupakan Jedi terakhir, menghilangkan diri. Sebuah kuasa ketenteraan yang dikenali sebagai First Order bangkit daripada sisa kemusnahan Empayar Galaktik dan mahu menghapuskan Luke dan Republik. Kumpulan penentang, Resistance, iaitu sebuah lagi kuasa tentera yang disokong oleh Republik dan dipimpin oleh adik Luke, Leia Organa, mencari Luke untuk mendapatkan bantuan menentang First Order.

Juruterbang kumpulan penentang Poe Dameron bertemu dengan ketua kampung Lor San Tekka di planet Jakku untuk mendapatkan peta ke lokasi Luke. Tentera Stormtrooper di bawah pimpinan Kylo Ren memusnahkan kampung itu dan menangkap Poe. Droid BB-8 kepunyaan Poe melarikan diri dengan peta tersebut, dan terserempak dengan pengutip besi buruk bernama Rey di sebuah penempatan barang buruk. Ren menyeksa Poe dan mendapat tahu tentang BB-8. Tentera Stormtrooper bernombor FN-2187, tidak dapat melakukan pembunuhan mengikut perintah First Order. Dia membebaskan Poe dan mereka melarikan diri dalam sebuah jet pejuang TIE yang dicuri. Poe menamakan FN-2187 sebagai "Finn". Pesawat mereka jatuh di Jakku ketika bertempur dan Finn dapat menyelamatkan diri. Finn bertemu Rey dan BB-8, tetapi First Order menjejaki mereka dan melancarkan serangan udara. Mereka bertiga melarikan diri dari planet Jakku dengan menggunakan kapal angkasa yang dicuri, Millennium Falcon.

Finn dan Rey terkandas disebabkan Falcon rosak semasa pertempuran kejar mengejar dengan pesawat TIE. Mereka dijumpai oleh Han Solo dan Chewbacca, yang menuntut semula kapal lama mereka, dan membawa bersama Rey dan Finn di atas kapal kargo. Han menjelaskan bahawa Luke cuba untuk membina semula Orde Jedi, tetapi selepas melatih pelajar Jedi, salah seorang daripada mereka menjadi jahat dan memusnahkan semua yang Luke usahakan. Merasakan dirinya bertanggungjawab, Luke hidup dalam buangan. Kumpulan penjenayah menyerang mereka berlima tetapi mereka dapat melarikan diri dengan Falcon. Walau bagaimanapun, penjenayah memaklumkan First Order tentang Han. Krew Falcon tiba di planet Takodana dan menemui Maz Kanata, yang boleh membantu BB-8 sampai ke pihak penentang, tetapi Finn tidak mahu terlibat dan pergi dari situ. Perhatian Rey ditarik ke sebuah peti besi dan mendapati pedang LightSaber yang dipunyai oleh Luke dan keluarganya. Rey mendapat visi yang mengacau fikirannya, dan melarikan diri ke dalam hutan. Maz kemudian memberikan LightSaber kepada Finn untuk disimpan.

Di pangkalan Starkiller First Order, sebuah planet yang ditukar kepada senjata berkuasa yang mendapatkan tenaganya daripada matahari, dan mampu memusnahkan sistem bintang, Pemerintah Agung Snoke mengarahkan Jeneral Hux untuk menggunakan Starkiller untuk kali pertama. Mereka menggunakan senjata itu untuk memusnahkan pusat pemerintahan Republik dan tenteranya, serta mengisytiharkan pengakhiran Republik. Snoke juga memberitahu Ren bahawa untuk mengatasi seruan ke arah Kebaikan, Ren mesti membunuh ayahnya, Han Solo. First Order kemudian menyerang Takodana. Han, Chewbacca, dan Finn, yang menggunakan lightsaber dalam pertempurannya, diselamatkan oleh pejuang penentang dengan pesawat X-wing yang diketuai oleh Poe, tetapi Rey ditangkap dan dibawa ke Pangkalan Starkiller. Ren menyoal siasat Rey, tetapi Rey menentang kuasa bacaan minda Rey. Rey mendapati yang Ren juga menggunakan Force, dan dapat melepaskan diri dengan menggunakan helah minda Jedi.