Pemerintahan Sultan_Abdul_Jalil_Rahmat_Shah

Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil IV, keadaan agak kucar-kacir kerana pembesar-pembesar kerajaan bersikap tamak, khianat dan cemburu. Keadaan ini memberi peluang kepada Raja Kecil menyerang Johor. Pada tahun 1717, Raja Kecil dan askar dari Siak menyerang Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah. Walaupun begitu, beliau masih membenarkan Sultan Abdul Jalil IV menetap di Johor tetapi tiada kuasa memerintah dan diberi jawatan Bendahara. Kemenangan Raja Kecil adalah atas bantuan pembesar Johor sendiri kerana yakin Raja Kecil ialah pewaris Sultan Mahmud Shah II.

Pada tahun 1719, cubaan merampas semula kuasa oleh Sultan Abdul Jalil IV dan anaknya Raja Sulaiman dan Tun Abas, yang berkubu di Seluyut gagal. Sultan Abdul Jalil IV lari ke Kuala Pahang.

Raja Kecil telah berpindah ke Riau dan mentadbir Johor dari Riau. Sultan Abdul Jalil IV berpindah dari Kuala Pahang ke Kuala Terengganu dan pada tahun 1720 balik semula ke Kuala Pahang. Raja Kecil telah menitahkan Laksamana Nakhoda Sekam ke Kuala Pahang membunuh Sultan Abdul Jalil IV. Raja Sulaiman dan Tun Abas dibawa ke Riau tetapi Raja Sulaiman dan Tun Abas tidak mahu tunduk kepada Raja Kecil dan berpakat dengan Bugis Lima Bersaudara dan berjaya mengalahkan Raja Kecil dan menghalaunya balik ke Siak pada 1723.