Kesihatan Sultan_Ismail_Petra_ibni_al-Marhum_Sultan_Yahya_Petra

Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra telah menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami strok pada 14 Mei 2009. Kerajaan negeri Kelantan melantik 10 pakar perubatan sebagai panel perubatan bagi memeriksa tahap kesihatan baginda. Panel pakar memutuskan baginda masih gering dan tidak mampu menjalankan tugas memerintah negeri.

Pada 25 Mei 2009, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan ekoran Sultan Ismail Petra tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua. Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang. Walau bagaimanapun pada 13 September 2010, Sultan Ismail Petra telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan tidak mengikut Perlembagaan. Sultan Ismail Petra sedang sembuh daripada strok yang dialaminya pada tahun 2009.