Ringkasan Sumpah_Pontianak

Seorang tua (Wak Dolah) telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dalam hutan, lalu mengambil dan memeliharanya sebagai anak angkat dan diberikannya nama Comel.

Orang tua tersebut, juga menulis buku mengenai hal-hal perubatan tradisional, tinggal berseorang diri disebuah pondok dalam hutan.

Apabila dewasa, keadaan Comel tidaklah secomel namanya sebaliknya merupakan seorang gadis yang hodoh ditambah pula badannya bongkok dan seringkali menjadi kutukan dan deraan penduduk-penduduk kampung.

Sebelum meninggal dunia, ayah angkat Comel telah berpesan kepadanya supaya memusnahkan dengan membakar segala yang dihasilkannya termasuk buku karangannya.

Bagaimanapun, ketika Comel sedang menjalankan amanah ayah angkatnya itu dia terjumpa buku yang memberi petua (rahsia) bagaimana mahu menjadi cantik.

Comel tidak membakar buku tersebut sebagaimana yang diamanahkan, tetapi menggunakannya untuk menjadikan dirinya cantik.

Comel mengadun ramuan, seperti yang tercatat dalam buku dan meminumnya ketika bulan mengambang. Setelah meminumnya Comel jatuh pengsan, dan apabila sedar Comel mendapati dirinya menjadi cantik.

Dalam Kesakitan

Kecantikan tersebut ada syaratnya, iaitu Comel tidak boleh merasai darah apatah lagi meminumnya, yang mana ini terlepas pandang Comel, kerana terlalu keinginannya menjadi cantik.

Selepas menjadi cantik, Comel meninggalkan pondok tempatnya berteduh selama ini dan pergi ke kampung berdekatan di mana dia menjadi tarikan anak Tok Penghulu (Othman), lalu berkahwin dengannya hingga memperolehi seorang anak perempuan (Maria).

Pada suatu hari, ketika berada di dalam taman, Othman telah di patuk ular. Comel cuba mencari pertolongan tetapi suaminya yang dalam kesakitan meminta Comel menghisap bekas patukan ular itu supaya bisanya dapat dikeluarkan.

Comel menjadi serba salah tetapi atas desakan Othman dia terpaksa melakukannya, yang mana ini menyebabkan darah suaminya dirasainya sedap, dan sampaikan dihisapnya semahu yang boleh sehingga Othman meninggal dunia.

Comel berubah wajah lebih buruk dari wajah asalnya, dan kerana itu dia pun menghilangkan diri. Sejak itu Comel menjadi Pontianak dan sering keluar di waktu malam.

Comel juga selalu datang bertemu anaknya, Maria, dengan membawa makanan berupa buah-buahan yang diperolehinya dari dalam hutan.

Disamping itu, dengan kejelitaannya dia memikat lelaki demi lelaki, dan apabila bertukar menjadi Pontianak dia pun membunuh bagi membolehkannya menghisap darah untuk terus kekal menjadi cantik.

Keadaan kampung tidak seaman seperti dulu, Pontianak telah menganas dan membunuh.