Kerjaya Tabby

Tabby mula menunjukkan minatnya terhadap bidang muzik pada usia muda. Minat beliau mendapat sokongan daripada keluarganya dan beliau pernah dihantar ke kelas nyanyian. Tabby juga pernah melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian, serta acara amal dan muzikal.[2] "Saya telah mencari label muzik untuk mengejar impian saya menjadi artis apabila saya melihat iklan untuk uji bakat untuk kumpulan wanita," kata Tabby dalam satu temubual bersama The Sun Daily.[2]

Tabby ialah salah seorang ahli kumpulan Dolla sewaktu penubuhannya pada April 2019.[4] Selain beliau, ahli kumpulan lain terdiri daripada Wan Sabrina Wan Rusli (Sabronzo), Angelina Chai Ka Ying (Angel) dan Norsyasya Afiqah Shahrizal (Syasya). Mereka pada mulanya tidak mengenali antara satu sama lain dan hanya bertemu semasa sesi ujibakat pencarian kumpulan penyanyi wanita baharu yang diadakan oleh Universal Music Malaysia. Tabby bersama rakan-rakan sekumpulannya meraih kejayaan komersial menerusi lagu sulung mereka, "Dolla Make You Wanna" yang dikeluarkan pada Mac 2020.

Selain bersama Dolla, Tabby telah merakamkan lagu bertajuk "Malaysia Di Hatiku" bersama Yonnyboii, Kmy Kmo dan Luca Sickta. Tabby menjelaskan bahawa kerjasama itu dilakukan kerana Universal Music Malaysia sedang mencari penyanyi wanita untuk menyumbangkan suaranya untuk lagu itu.[5]